Penyakit 'ishq
Penyakit ‘ishq (cinta) itu sangat bahaya. Dari mata - atau dari telinga sekadar mendengar khabar - ia menyusup ke jantung hati. Tersebut dalam hadis mursal, tiada ubat bagi dua orang yang bercinta semujarab perkahwinan. Tetapi, tidak semua, bahkan dalam ghalib keadaan, secara adat atau secara syariatnya ia mustahil disudahkan dengan pernikahan. Sebuah shaylah, sejenis puisi rakyat di Arab Saudi tentang seorang lelaki yang secara tidak sengaja menemui bekas kekasihnya mengungkapkan hakikat ini: قالت ظروف الزمان ما تطيـع العاشقين. “Katanya, ‘situasi semasa tidak mengikut kemahuan orang-orang yang berkasih’.” Berdustalah Hamka yang menyifatkan cinta itu sebagai “penyakit, tetapi nikmat, nikmat tetapi penyakit. Orang ditimpanya, tetapi orang itu tidak hendak sembuh darinya” – kecuali pada permulaannya – kerana pada satu tahap, yang tersisa hanyalah derita, dan tiada lagi yang diharapkan selain kematian. Banyak syair dan lagu cinta mengungkapkan perkara ini. Misalnya, Qays b. al-Mulawwaḥ, l...