Penyakit 'ishq
Penyakit ‘ishq (cinta) itu sangat bahaya. Dari mata - atau dari telinga sekadar mendengar khabar - ia menyusup ke jantung hati. Tersebut dalam hadis mursal, tiada ubat bagi dua orang yang bercinta semujarab perkahwinan. Tetapi, tidak semua, bahkan dalam ghalib keadaan, secara adat atau secara syariatnya ia mustahil disudahkan dengan pernikahan. Sebuah shaylah, sejenis puisi rakyat di Arab Saudi tentang seorang lelaki yang secara tidak sengaja menemui bekas kekasihnya mengungkapkan hakikat ini:
قالت ظروف الزمان ما تطيـع العاشقين.
“Katanya, ‘situasi semasa tidak mengikut kemahuan orang-orang yang berkasih’.”
Berdustalah Hamka yang menyifatkan cinta itu sebagai “penyakit, tetapi nikmat, nikmat tetapi penyakit. Orang ditimpanya, tetapi orang itu tidak hendak sembuh darinya” – kecuali pada permulaannya – kerana pada satu tahap, yang tersisa hanyalah derita, dan tiada lagi yang diharapkan selain kematian. Banyak syair dan lagu cinta mengungkapkan perkara ini. Misalnya, Qays b. al-Mulawwaḥ, lagenda ‘āshiq yang mencintai seorang hamba dikatakan bermadah:
لو كانَ لي قلبان لعشت بواحدٍ ... وأفردتُ قلباً في هواكَ يُعذَّبُ
لكنَّ لي قلباً تّمَلكَهُ الهَوى ... لا العَيشُ يحلُو لَهُ ولا الموتُ يَقْرَبُ
كَعُصفُورةٍ في كفِّ طفلٍ يُهِينُها ... تُعَانِي عَذابَ المَوتِ والطِفلُ يلعبُ
فلا الطفل ذو عقلٍ يرِقُّ لِحالِها ... ولا الطّيرُ مَطلُوقُ الجنَاحَينِ فيذهبُ
“Sekiranya aku mempunyai dua hati, aku akan hidup dengan salah satu; dan aku mengkhususkan satu hati lagi untuk didera oleh cintamu;
Tapi, aku hanya ada satu hati yang digenggam oleh cinta. Kerananya hidup tidak indah, mati pun tidak mendekat;
Seperti burung kecil di telapak tangan budak yang mempermain-mainkannya, ia merasai seksa kematian sedangkan budak itu bermain-main;
Budak itu belum pandai untuk merasa kasihan dengan keadaannya, burung itu pula tidak bebas kepaknya untuk terbang pergi.”
Orang-orang yang diuji dengan penyakit cinta tidak sepatutnya dikeji dan diejek, sebaliknya perlu dibantu untuk berkahwin, dan jika pintu itu tertutup, pelbagai cara dan peringkat demi peringkat dicadangkan seperti secara psikoterapi, mencari calon lain, dan mungkin sampai perlu diruqyah seperti orang yang dirasuk jin. Ya, bercakap itu mudah bagi kita yang sedang sihat, tetapi dalam kes yang sudah melarat, semua kaedah tidak berkesan. Ketika itu, hanya kepada Allah diharapkan keajaiban.
Kepada yang belum diuji, tambah ilmu dan jaga iman. Sementara itu, jangan sesekali berasa selamat. Ingat, cinta itu “perasaan yang tanpa kabar, takkan tahu kapan dia datang,” dan kita tidak tahu ia datang dalam rupa yang bagaimana. Jika dalam rupa wanita muda, cantik, beragama, berada, pandai, berpengalaman yang hebat, dan daripada keluarga yang mulia – atau lebih jelas, berniqab, jelitawan, hafizah, hartawan, dan pernah menuntut di tanah haram, misalnya – mampukah kita melawan pesona?
Terakhir, terima kasih kerana menyambut kehadiran semula saya selepas menghilang agak lama dan wa-iyyā-kum atas segala doa. (Jangan tanya ke mana saya pergi, kerana jawapannya sudah tersedia dalam tulisan ini. Ditakdirkan Allah dan alhamdulillah dalam semua keadaan, kini genap tiga tahun selepas semuanya bermula.)
Terselak kitab Rawḍah al-Muḥibbīn oleh Imam Ibnu al-Qayyim yang membicarakan penyakit ini dengan panjang lebar, dan terjumpa bait yang diharapkan dapat menjadi pedoman semua:
لا يغرنك ما ترى من نقاب ... إن تحت النقاب داءًا داويا
“Janganlah kamu terpedaya dengan yang kau lihat dari niqab. Sesungguhnya di bawah niqab ada sakit yang akan menyerang.”
Ulasan
Catat Ulasan