MANHAJ AL-TARJIH & AL-TAKHRIJ BAHAGIAN SATU

MANHAJ AL-TARJIH & AL-TAKHRIJ BAHAGIAN SATU


•Tarjih menurut Al-Baidhawi ialah : 
تقوية الامارتين على الاخرى ليعمل بها
(Penguatan terhadap salah satu daripada dua dalil yang saling bertentangan antara satu sama lain bertujuan untuk diamalkan pendapat yang telah dikuatkan tersebut).

•Sebelum pembaca menelusuri dan memahami konsep At-Tarjih,pembaca perlu diterangkan terlebih dahulu tentang permasalahan At-Ta'arud(percanggahan antara dua dalil),kerana At-Ta'arud adalah "muqaddimah/permulaan" yang membawa kepada aplikasi proses pentarjihan.

•Ibn Rush dalam Bidayah Al-Mujtahid Wa Nihayah Al-Muqtasid menyatakan bahawa ikhtilaf atau perselisihan pendapat dalam kalangan ulama' adalah berpunca daripada At-Ta'arud Al-adillah As-Syariyyah iaitu pertentangan/percanggahan yang berlaku antara  dalil-dalil syara'(yang bersifat Zhonni) sehingga membawa kepada tindakkan pentarjihan salah satu daripada dalil-dalil yang bercanggah tersebut.

•Jadi,sebelum menggali isu At-Tarjih dengan lebih mendalam para pengkaji mahupun para pembaca perlu membahaskan asas kepada kefahaman At-Tarjih iaitu At-Ta'arud,kerana At-Tarjih sesekali tidak akan berlaku melainkan selepas At-ta'arud berlaku.

•Menurut Wahbah Al-Zuhaily,At-Ta'arud ialah :
عبارة عن تنافي الدليلين او الادلة بحسب الدلالة على وجه التناقض او التضاد بينهما فيمتنع اجتماعهما كان يقتضي احد الدليلين الايجاب والآخر التحريم.
(Percanggahan dua dalil atau dalil-dalil berdasarkan sudut  kefahaman yang berlainan sehingga menghalang penyatuan antara dua dalil seakan-akan satu dalil mengkehendaki hukum wajib,sedangkan dalil satu lagi mengkehendaki hukum haram).

•Wahbah Al-Zuhaily ketika menerangkan hakikat At-Ta'arud,beliau mengatakan bahawa At-Ta'arud yang diterima ialah At-ta'arud yang wujud pada pandangan mujtahid berdasarkan ketinggian kefahaman mereka.At-Ta'arud tidak berlaku pada diri dalil kerana dalil-dalil syar'i tidak akan bercanggah antara satu sama lain.Percanggahan antara dalil-dalil syar'i atau At-Tanaqud menunjukkan kelemahan pada sumber agama itu sendiri.Maka,At-Tanaqud tidak akan berlaku dalam agama Islam.Pertentangan(At-Ta'arud) yang berlaku itu hanyalah pada kefahaman mujtahid terhadap dalil-dalil agama.

•Bagi meluaskan kefahaman pengkaji/pembaca terhadap konsep At-Ta'arud,pembaca/pengkaji perlu tahu pembahagian At-Ta'arud.Imam Az-Zarkasyi dalam Bahr Al-Muhit menyatakan At-Ta'arud terbahagi kepada 10 bahagian.Dalil-dalil mempunyai 4 ketagori,kemudian At-Ta'arud berlaku pada dalil-dalil ini.Ringkasnya,At-Ta'arud berlaku antara Al-Kitab(Al-quran) dengan Al-Kitab,Al-Kitab dengan Al-Sunnah,Al-Kitab dengan Al-Ijma',Al-Kitab dengan Al-Qiyas.Kemudian berlaku At-Ta'arud antara Al-Sunnah dengan Al-Sunnah,Al-Sunnah dengan Al-Ijma',Al-Sunnah dengan Al-Qiyas.Pada Ijma' berlaku At-Ta'arud antara Al-Ijma' dengan Al-Ijma',Al-Ijma' dengan Al-Qiyas dan berlaku At-Ta'arud antara Al-Qiyas dengan Al-Qiyas.
At-Ta'arud juga berlaku pada baki sumber hukum yangain seperti Al-Istihsan,Al-Istislah dan lain-lain lagi.

•Hakikatnya,At-Ta'arud tidak berlaku pada dalil-dalil Qat'e(dalil yang jelas/tidak samar-samar) sebagaimana kenyataan Imam Al-Baidhawi dalam kitab Mannhaj Al-Usul Ila Ilmi Al-Usul. Jadi,At-Taa'rud itu hanya berlaku lada dalil-dalil yang bersifat Zhonni sahaja sama ada pada sudut Thubut dalil atau pada Dalalah.Apabila At-Ta'arud berlaku,maka perlu ada kaedah yang digunapakai atau diaplikasikan untuk menyelesaikan Al-Ta'arud tersebut.Pembaca akan dapati ada dua aliran yang mashur mengemukakan penyelesaian terhadap masalah Al-Ta'arud iaitu aliran Hanafi dan Aliran Syafie.

•Menurut ulama Hanafi,Al-Ta'arud boleh berlaku pada nas syara' dan bukan nas syara'.Jika Al-Ta'arud berlaku pada dua nas,maka,mujtahid perlu melakukan 4 langkah:
Pertama,menentukan tarikh berlakunya percanggahan dua nas tersebut.Jika tarikh kedua-duanya diketahui,maka proses penasakhan akan berlaku iaitu nas yang datang terkemudian akan menasakhkan nas yang terdahulu. Kedua,apabila mujtahid tidak mengetahui tarikh kedua-dua nas yang bercanggah,maka dia perlu mentarjih salah satu daripada kedua-dua nas melalui kaedah pentarjihan.Ketiga,jika pentarjihan tidak dapat dilakukan,maka perlu Jama'(proses penggabungan) atau penyatuan antara dua nas kerana beramal dengan dua dalil adalah lebih baik daripada membuang salah satu dari keduanya.
Keempat,jika terdapat dalil yang sama kedudukkan dan sama kekuatannya,maka mujtahid haruslah berpindah kepada dalil yang lain walaupun kekuatannya agak rendah.Hal ini kerana Al-Ta'arud mempunyai makna Mujmal(tidak jelas),apabila berlaku percanggahan antara dua dalil dan tiada penyelesaian,maka gugurlah dalil-dalil tersebut kerana tidak wujid kepastian mana satukah dalil yang paling kuat.

•Menurut ulama As-Syafie,Al-Maliki,Al-Hanbali  mereka mempunyai pendekatan yang berlainan daripada Hanafi.Menurut mereka,apabila dua nas saling Al-Ta'arud(bercanggah) maka 3 kaedah perlu dilakukan.Pertama,jama'(Penggabungan/pengharmonian) antara dua dalil tersebut dalam bentuk yang diterima kerana menggabungkan dalil lebih baik daripada menggugurkan salah satu dari dua dalil.Kedua:,jika pengharmonian tidak dapat dilakukan,maka pentarjihan dalil yang lebih kuat perlu dilakukan.Ketiga,jika tidak mampu untuk melakukan pentarjihan,maka proses penasakhan perlu dilakukan pada salah satu daripada dua dalil.

____________
•Menurut penulis(Dr.Fauwaz Fadzil Noor),beliau berpendapat pendekatan ulama Hanafi pada kaedah penyelesaian Al-Ta'arud antara nas yang bercanggah adalah pendekatan yang agak lemah.Beliau menukilkan kata-kata Ibn Hizm bahawa "tidak diharuskan pada seorang Muslim yang beriman kepada Allah daa hari kiamat berkata sesuatu terhadap Al-Quran dan Al-Sunnah bahawa nas ini dimansukhkan melainkan dengan dalil yang yakin..."
•Oleh itu,pendekatan yang digunakan oleh aliran Hanafi mengurangkan peranan nas,kerana penasakhan yang dilakukan oleh ulama Hanafi pada proses penyelesaian Al-Ta'arud akan menyebabkan pembatalan pengamalan terhadap hukum yang dinyatakan di dalam nas.Hal ini dilihat bertentangan dengan konsep Al-Quran diturunkan iaitu menjadi amalan selagi ada ruang pada pengamalannya.
•Penulis memilih pendapat aliran Al-Syafie dan Mutakallimin kerana mereka sedaya upaya tidak menggugurkan dalil,bahkan mereka menjadikan jalan Nasakh sebagai jalan terakhir.Prinsip ini bertepatan dengan kaedah fiqh 
إعمال الدليلين أولى من إهمالهما
(Menggunakan dua dalil lebih baik daripada menggugurkan salah satu dari keduanya).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Waktu anak diperintahkan beribadah.

FATWA AJARAN BATINIYYAH (EN. WAN HIZAM BIN ABDULLAH, EN. ISMAIL ARIFFIN@LEPAT)