TAKWIL MUKHTALIF HADITH IBNU QUTAIBAH (BAHAGIAN 1)





•Mukhtalif hadith merupakan sebuah metadologi penyelesaian di antara dua hadith yang secara zahirnya seolah-olah bertentangan antara satu sama lain.

•Hadith-hadith yang zahirnya seolah-olah mempunyai kontradiksi pada makna akan diselesaikan melalui kajian mukhtalif hadith,mengikut metodologi yang telah para ulama tetapkan sama ada hadith-hadith tersebut dikompromikan maknanya antara satu sama lain atau ditarjihkan salah satunya.

•Ibnu Khuzaimah(w 311) berkata "Aku tidak menemukan dua hadith yang saling bertentangan antara satu sama lain pada maknanya.Jika ada sesiapa yang menjumpainya, serahkan pada aku untuk diselesaikan".

•Ibnu Qutaibah(w 276) salah seorang sarjana yang bangkit untuk membukukan metodologi mukhtalif hadith berikutan sepucuk surat dari sahabatnya yang mengadu berkenaan ejekkan dan tuduhan Ahli Kalam(Muktazilah) terhadap kelompok Ahli Hadith.Muktazilah mengatakan Ahli Hadith kerap kali meriwayatkan hadith dusta serta bercanggah antara satu sama lain.

•Ibnu Qutaibah telah menjalankan analisis dari sudut bahasa dan analisis dari sudut usul fiqh untuk menyusun metodologi mukhtalif hadith beliau.

ANALISIS PADA BAHASA MERANGKUMI 3 KATAGORI
•Kajian pada makna perkataan
•Kajian pada uslub
•Kajian pada makna majazi

1)KAJIAN PADA MAKNA
•Ia melibatkan kajian tertentu pada makna lafaz yang ada pada teks hadith.Ini kerana ada perkataan-perkataan yang patut diteliti pada perubahan huruf dan barisnya,kerana perubahan ini memberi kesan pada makna kalimah(perkataan). Contohnya perkataan لُعْنَةُ bermaksud orang yang dilaknati.Namun apabila berubah baris perkataan tersebut,maka maknanya juga berubah contohnya لُعَنَةُ bermaksud orang yang sering melaknat.

•Suatu perkataan juga kadangkala mempunyai banyak makna(Kalimah Musytarak).Kalimah Musytarak ini hanya akan dapat diketahui maknanya dengan tepat apabila melihat Siyaq dan Sibaq(latarbelakang) ataupun petanda(qarinah) yang menghalakan maksudnya dengan tepat sebagaimana yang dikehendaki.
Contohnya hadith riwayat Tirmizi,Abu Daud,Nasaei,Ibn Majah yang menyatakan Nabi Saw memohon perlindungan Allah agar terselamat dari kemiskinan.Ia bertentangan dengan hadith dalam Jami' Tirmizi yakni 
اللهم احيني مسكينا و امتني مسكينا واحشرني في زمرة المساكين يوم القيامة.
(Ya Allah,hidupkan aku sebagai orang miskin,
matikan aku sebagai orang miskin dan kumpulkan aku pada hari kiamat bersama orang-orang miskin).
Ibnu Qutaibah mengatakan perkataan مسكين/miskin dalam hadith ini bukan bermakna kekurangan harta atau sempit hidup bahkan ia sebenarnya bermaksud kerendahan hati(tawadu') atau ketenangan jiwa.Ini adalah kerana perkataan مسكين/miskin juga diguna pakai dalam bahasa arab seperti تمسكن الرجل yang memberi maksud lelaki yang tawadu' dan mempunyai ketenangan jiwa.

•Al-Hakim dalam Mustadrak menyebutkan sebuah hadith 
لا تسبوا الريح فانها من نفس الرمٰن
(Jangan kamu mencela angin,kerana ia adalah sebahagian dari nafas Al-Rahman)

Jika dilihat pada perkataan الريح (angin) Ia bukan bersifat qadim(tiada permulaan).Ia dicipta.Sedangkan perkataan النفس(Nafas) jika diterjemahkan secara literal sebagai hembusan/nafas maka ia akan membawa kepada qadimnya hembusan tersebut kerana ia dari diri Ar-Rahman.Maka akan menatijahkan qadimnya angin.Namun,kenyataannya tidak begitu kerana angin adalah makluk yang diciptakan(tidak qadim).Ibnu Qutaibah telah memaknakan perkataan النفس(Hembusan) semakna dengan perkataan الفرج(Pertolongan).Hal ini bersesuain dengan perkataan اللهم نفس عني الأذى
(Ya Allah tolong selamatkan aku daripada pekara yang menyakitkan).Jadi,makna yang tepat bagi hadith tersebut ialah "Jangan kamu mencela angin,kerana ia adalah sebahagian daripada bantuan/pertolongan Ar-Rahman).

2)KAJIAN PADA USLUB
•Uslub Targhib(ancaman) bertujuan untuk menakut-nakutkan sahaja tanpa ada niat untuk dilaksanakan.

•Contohnya,sebuah hadith riwayat Abu Hurairah ra 
من شرب الخمر فجلدوه،فان عاد فاجلدوه،فان عاد فجلدوه،فان عاد الرابعة فاقتلوه
(Sesiapa yang meminum arak,maka sebatlah ia.Jika dia mengulanginya lagi,maka sebatlah.Jika dia mengulanginya lagi,maka sebatlah.Jika dia mengulanginya pada kali yang keempat,maka bunuhlah dia)

Ibnu Qutaibah mengatakan bahawa perintah bunuh apabila mengulangi minum arak untuk kali keempat hanya semata-mata ancaman sahaja tapi tidak akan dilaksanakan.

3)KAJIAN PADA MAKNA MAJAZI
•Kalimah majaz merujuk kepada kalimah atau perkataan yang digunakan bukan pada makna asalnya.Ianya sekadar seolah-olah kiasan bahasa sahaja.Dalam bahasa melayu juga kerap kali makna majazi digunakan seperti "Singa berperang di medan pertempuran".Perkataan singa merujuk kepada seorang lelaki yang sangat berani.Ia tidak dirujuk kepada  singa yang merupakan seekor bintang pemangsa.

•Begitu juga dalam hadith,seperti 
ما بين بيتى و منبري روضة من رياض الجنة
(Kawasan yang berada di antara rumahku dan mimbarku merupakan salah satu kebun dari kebun-kebun syurga)

Ibnu Qutaibah ketika menyebut hadith ini menyatakan bahawa kawasan antara rumah Nabi saw dan mimbar baginda bukanlah taman-taman syurga secara hakikat.Tetapi amal ibadah yang dilakukan di kawasan tersebut menyebabkan orang yang melakukannya dapat memasuki syurga.

•Uslub yang sama digunakan untuk hadith seperti "Majlis zikir adalah taman syurga","Syurga di bawah bayangan pedang".Ini semua Uslub Majazi yang menunjukkan amal perbuatan tersebut dikaitkan dengan syurga.

•Hadith riwayat Anu Hurairah ra.
لا تسبوا الدهر فان الله هو الدهر
(Jangan kamu mencela masa,kerana Allah adalah masa).
Maksudnya,bukanlah diri Allah itu masa atau masa itu diri Allah.Tetapi Allah yang menciptakan masa.Mencela masa membawa kepada pencelaan terhadap pencipta masa yakni Allah.

•Ibnu Qutaibah juga sering kali mentafsirkann perkataan "Syaitan" dengan maksud kerosakkan,marabahaya dan seumpamanya.

Sebuah hadith 
الراكب شيطان،والراكبان شيطانان،والثلاثة ركب.
(Bermusafir seorang diri itu ialah syaitan.Dua orang musafir ialah dua syaitan.Manakala tiga orang musafir ialah tiga orang pengendera)

Perkataan syaitan dalam hadith ini bukan merujuk kepada makna syaitan yang sebenar,tetapi ia merupakan isyarat kepada marabahaya bermusafir seorang diri.Bermusafir seorang diri atau dua orang untuk menempuhi perjalanan yang jauh masih terdedah kepada risiko bahaya dan ancaman perompak atau binatang buas.Sedangkan jika bermusafir tiga orang atau lebih,maka akan dapat saling membantu dan mengurangkan risiko di dalam perjalanan.

-Naz-

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Waktu anak diperintahkan beribadah.

MANHAJ AL-TARJIH & AL-TAKHRIJ BAHAGIAN SATU

FATWA AJARAN BATINIYYAH (EN. WAN HIZAM BIN ABDULLAH, EN. ISMAIL ARIFFIN@LEPAT)