Fenomena Hadith palsu (Bahagian 1)



FENOMENA HADITH PALSU 
(BAHAGIAN 1)

•Hadith Maudu'(palsu) merupakan hadith rekaan yang dinisbahkan atau disandarkan kepada Nabi saw.Sebahagian Ulama' mengkhususkan istilah Maudu' untuk menunjukkan kepada hadith palsu yang sengaja direka.Manakala hadith yang tidak sengaja direka disebut sebagai Al-Bathil(Hadith Batil).

•Apabila Ahli Hadith menggunakan istilah Maudu' secara umum,maka yang mereka maksudkan ialah sebuah hadith yang direka lalu disandarkan kepada Nabi saw.Namun jika ia disandarkan kepada selain Nabi saw,maka ia dinamakan "موضوع على فلان"(Maudu' ke atas Si Fulan),sebagai contoh ialah hadith yang telah disebutkan oleh Ibn Al-Jauzi(W 597H) iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah ra "Aku tidak merasai ketiadaan jasad Nabi saw pada malam Isra' Mi'raj".Ini adalah hadith Maudu' yang disandarkan kepada Aisyah ra.Menurut istilah tadi,ia di panggil "موضوع على عاءشة".[Zafarul Amani-m/s 418-419,Maulana Abdul Hayy Al-Kanawi]

•Sebahagian daripada Hadith Maudu' itu ialah perkataan hukama,cendekiawan atau kata-kata sahabat.Tetapi Al-Wadi'(Pereka hadith palsu) telah menyandarkan perkataan tersebut kepada Nabi saw.Sebahagian Hadith Maudu' pula memang merupakan untaian perkataan yang terhasil dari rekaan Al-Wadi' itu sendiri.[Manhaj Al-Naqd Fi Ulum Al-Hadith-m/s 301-Dr Nuruddin Itr]

•Hukum membuat dan menyebarkan Hadith Maudu' adalah haram kerana ia merupakan sebesar-besar kedustaan ke atas Rasulullah saw.Bahkan Nabi saw secara jelas telah memberi ancaman kepada pereka hadith palsu.Sabda Nabi saw
"من كذب علي متعمدا فايتبوأ مقعده من النار"
(Sesiapa yang segaja berdusta ke atasku,maka tempahlah tempat duduknya di dalam neraka).
Imam An-Nawawi (W 676H) mengatakan bahawa "pendustaan menurut Ahli Kalam dalam Mazhab Kami ialah orang  yang bakal menempah dirinya ke neraka, sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja".
[Muqaddimah Sahih Muslim,Bab Taghliz Al-kazb 'Ala Rasulillah saw].
Namun Ijma' Ulama' bersepakat tiada dosa ke atas orang yang terlupa dan tersilap dalam menyebutkan hadith palsu.Kerana itu Nabi saw mengkhususkan pendustaan itu dengan lafaz "عمد"(Sengaja).Maka dimaafkan bagi orang yang tersilap,terlupa atau tidak sengaja meriwayatkan dan menyebarkan Hadith Palsu tersebut.

•Imam Abu Muhammad Abdullah Ibnu Yusuf Al-Juwaini(W 438H) menghukum kafir dan menghalalkan darah sesiapa yang berdusta secara sengaja ke atas Nabi saw[ Al-Minhaj,Syarah Sahih Muslim,An-Nawawi].

•Al-Hafiz Muhammad Ibn Abd Rahman Al-Sakhawi (W 902H) Dalam kitab Maqasid Al-Hasanah,m/s 4 berkata "Berdusta ke atas Nabi saw bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain.Orang-orang yang bijak akal dan hatinya sepakat mengatakan ia adalah salah satu daripada dosa-dosa besar dalam Islam".

•Sebahagiam Ulama' cukup keras dalam menghukum pemalsu hadith kerana melihat kepada kesan penyebaran kedustaan tersebut.Ibnu Solah Al-Syahrazuri(W 642H) berkata orang yang memalsukan hadith Nabi saw secara sengaja sekalipun telah bertaubat dengan sebenar-benar taubat,masih lagi tidak diterima riwayat mereka buat selama-lamanya,sebagaimana pendapat Ahmad bin Hanbal dan Abu Bakar Al-Humaidi guru Al-Bukhari.[Ulum Al-Hadith-m/s 116,Ibnu Solah].

•Ibnu Taimiyyah( W 728H),Al-Zahabi(W 748H) dan Ibnu Hajar Al-Asqalani( W 852H) menyebutkan bahawa meriwayatkan hadith palsu tanpa menjelaskan kedudukannya adalah berdosa.Imam Al-Zahabi juga pernah berkata bahawa  Ibnu Mandah(W 396H) dan Abu Nuaim(W 430H) berkata "Aku tidak mengetahui dosa mereka yang lebih besar dari meriwayatkan hadith palsu tanpa menyatakan satusnya"[Mizan Al-I'tidal,Al-Zahabi].

•Nabi saw sendiri telah berpesan kepada para sahabat ra bahawa di akhir zaman nanti akan ada umat baginda saw yang meriwayatkan kepada manusia lain sesuatu yang mereka tidak dengari dari baginda saw mahupun dari para sahabat ra.Dalam Muqaddimah Sahih Muslim,diselitkan hadith tentang peringatan Nabi saw ini
" يكون في آخر الزمان دجّال كذّابون، يأتون من الاحاديث بما لم تسمعوا انتم ولا آباؤكم فايّاكم وايّاهم لايضلونكم ولا يفتنونكم"
(Akan ada di akhir zaman nanti dajjal-dajal pendusta datang kepada kamu dengan membawa hadith-hadith yang kamu dan nenek moyang kamu tidak pernah mendengarnya.Maka berwaspadalah daripada mereka,jangan sampai mereka menyesatkan kamu dan membawa fitnah kepada kamu semua".
Disebabkan hadith inilah,para sahabat berhati-hati dan berwaspada terhadap perkataan yang disandarkan kepada Nabi saw selepas kewafatan baginda saw.

•Fenomena penciptaan hadith palsu tidak pernah berlaku di zaman Nabi saw dan zaman selepas kewafatan baginda saw sehinggalah pada tahun 40H yakni selepas berlakunya peristiwa Perang Siffin,antara pengikut Ali bin Abi Talib ra dan Muawiyyah bin Abi Sufyan yang akhirnya mengheret kepada perpecahan kaum muslimin.

•Selepas berlakunya peritiwa ini bertambahlah kewaspadaan sahabat terhadap periwayatan hadith kerana ketika itu ramai pereka hadith yang mereka cipta hadith untuk menyokong dan mengukuhkan kumpulan masing-masing.Para sahabat tidak lagi menerima hadith melainkan apa yang mereka kenal pasti ia adalah hadith dan menolak selainnya.Oleh sebab inilah Ibnu Abbas ra pernah berpaling daripada Busyair bin Kaab Al-Adawi ketika dia datang kepada Ibnu Abbas ra dan berkata "Rasulullah saw bersabda begini"..."Rasulullah bersabda begitu"...Ibnu Abbas tidak mengindahkannya dan tidak memperdulikannya.Lalu Busyair berkata "Wahai Ibnu Abbas,kenapa aku melihat engkau tidak memberi perhatian?Sedangkan aku menyampaikan hadith Rasulullah saw".Ibnu Abbas ra menjawab "Dahulu,apabila kami mendengar seseorang berkata "Rasulullah saw bersabda"...maka mata kami akan segera tertoleh ke arahnya,telinga kami akan tekun mendengar.Tetapi,setelah kesusahan dan kehinaan menimpa manusia,maka kami tidak mengambil hadith daripada sesiapa pun melainkan apa yang kami ketahui".[Muqaddimah Sahih Muslim].

•Di sinilah titik permulaan sahabat-sahabat terakhir dan para tabi'in terawal bertanyakan sanad dalam periwayatan hadith.Ibnu Sirin (W 110H) berkata 
 " لم يكوتوا يسألون عن الاسناد،فلمل وقعت الفتنة قالوا سمّوا لنا رجالكم،فينظر إلى اهل السنة فيؤخذ حديثهم و ينظر إلى أهل البدع فلا يؤخذ حديثهم
"Pada mulanya mereka tidak pernah bertanyakan sanad dalam periwayatan hadith,tetapi setelah terjadinya fitnah,mereka mula berkata " Namakan kepada kami perawi hadith kamu!".Lalu dilihat,jika seseorang itu dalam kalangan ahli sunnah,Maka diterima hadithnya,jika dia dalam kalangan ahli bidaah dan sesat,maka dia ditolak hadithnya".[Muqaddimah Sahih Muslim].

•Syiah Rafidhah adalah golongan yang berperanan besar dalam penyebaran hadith palsu.Ketika mana mereka mendokong kehalifahan Ali bin Abi Talib ra,banyak hadith palsu yang direka cipta dan disandarkan kepada Saidina Ali ra.Contohnya hadith-hadith yang menceritakan kelebihan Saidina Ali ra dan Ahlul Bait.Bahkan mereka juga mencipta hadith untuk menghina musuh-musuh mereka dalam kalangan para sahabat ra.

•Hafiz Abu Ya'la Al-Khalili (W 446H) berkata "Syiah Rafidah telah memalsukan sebanyak 300 hadith khusus tentang kelebihan Ali dan ahli keluarganya".[Tazkiratul Huffaz,Al-Zahabi].

•Selain Syiah,sebahagian Ahli Sufi juga tidak terkebelakang dalam merancakkan penyebaran hadith palsu.Golongan Sufi meriwayatkan hadith-hadith palsu kerana kejahilan mereka sendiri disamping kesungguhan mereka untuk mengajak manusia mendekatkan diri kepada Allah.

•Imam Al-Zahabi berkata ketika menyebut biografi seorang tokoh sufi terkemuka,Abu Laith Nasr Ibnu Muhammad Al-Samarqandi(W 373H),penulis kitab Tanbihul Ghafilin "Hadith-hadith palsu telah tersebar melaluinya"[Syiar Al-'Alam  An-Nubala',Al-Zahabi].

•Syeikh Jamaluddin Al-Qasimi (W 1332H) berkata "Para Ulama' sangat mengingkari Ahli Sufi yang telah membawa dalam kitab-kitab mereka sesuatu hadith yang mereka ketahui ianya adalah palsu serta tafsiran Al-Quran yang mereka tahu ianya bercanggah walaupun mereka merupakan golongan yang cintakan 'amal ibadah".[Qawaid Al-Tahdith min Mustolah Al-Hadith-ms 175,Jamaluddin Al-Qasimi].

-Naz-

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Waktu anak diperintahkan beribadah.

MANHAJ AL-TARJIH & AL-TAKHRIJ BAHAGIAN SATU

FATWA AJARAN BATINIYYAH (EN. WAN HIZAM BIN ABDULLAH, EN. ISMAIL ARIFFIN@LEPAT)