FENOMENA HADITH PALSU (BAHAGIAN 2)
FENOMENA HADITH PALSU(BAHAGIAN 2)
•Para ulama sedaya upaya berusaha membongkar kebatilan yang disebarkan oleh pemalsu hadith dengan menerangkan kepada masyarakat
berkenaan status sesebuah hadith.Sufyan Al-Thauri(w161H) berkata : "Para malaikat adalah penjaga langit,manakala ahli hadith adalah penjaga bumi".
•Para ulama Jarh wa ta'dil(ulama yang mengkaji kredibiliti perawi hadith) telah menetapkan metodologi yang kritis untuk menentukan kesahihan sesebuah hadith dan mengesan kepalsuannya.Setiap perawi yang meriwayatkan hadith akan diteliti latar belakang mereka.Siapakah mereka,dimana mereka lahir,tahun bila mereka lahir,keadaan pengamalan agama mereka,guru-guru mereka,tarikh wafat guru-guru mereka,di mana mereka mendapatkan hadith,cara mereka mendengar dan meriwayatkan hadith,keadaan akhir hayat mereka(adakah nyanyuk atau bercampur aduk hafalan hadith mereka) dan sebagainya.Usaha kajian ulama hadith terhadap para perawi hadith ini telah menghasilkan satu disiplin ilmu yang dipanggil "Asma al-rijal".
KAEDAH MENENTUKAN KEPALSUAN HADITH
1)Antara kaedah yang digunakan ulama Jarh wa Ta'dil dalam mengesan kedhaifan atau kepalsuan hadith ialah melalui kajian terhadap sanad hadith(jalur periwayatan hadith) dan matan(teks) hadith tersebut.
2)Ulama hadith telah mengarang pelbagai kitab yang memuatkan kaji selidik terhadap keperibadian perawi.Perawi yang dikritik keperibadiannya kerana berdusta/menipu akan dijarhkan(dikritik) sebagai "Al-Kazzab"(pendusta/pembohong).
3)Keadaan perawi sebagai pendusta adakalanya diketahui dengan pengakuannya sendiri seperti Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam,Maisarah bin Abdi Rabbihi dan selainnya yang mengaku sendiri melakukan pemalsuan hadith.
4)Untuk mengetahui ittisal(bersambung) atau terputusnya sanad sesebuah hadith,ulama hadith akan memastikan perawi yang meriwayatkan hadith tersebut pernah bertemu dengan (syeikh)guru yang diriwayatkan/diambil hadith daripadanya.Jika mereka tidak pernah bertemu antara satu sama lain kerana perbezaan tempat tinggal dan serta tidak ada bukti liqa'(bertemu) atau perawi lahir selepas wafatnya guru,maka sanad hadith tersebut terputus.Contohnya apa yang berlaku pada Maimun bin Ahmad Al-Harawi yang mendakwa pernah mendengar hadith daripada Hisyam bin Amr,lantas kedustaan beliau telah didedahkan oleh Ibnu Hibban.Kaedah mengenal pasti tarikh wafat Syeikh(guru) banyak membantu dalam mendedahkan keterputusan sanad perawi hadith.Sufyan At-Thauri berkata :"Apabila perawi mengunakan penipuan, maka kami menggunakan kaedah tarikh ini"
5)Selain mengenal pasti kepalsuan hadith melalui sanad,kajian terhadap matan(teks) hadith juga dilakukan.Hadith yang rendah mutu bahasanya dan tidak boleh diterima akal adalah petanda kepalsuan hadith tersebut.Sebagai contoh hadith "Sekiranya nasi adalah lelaki,sudah pasti ianya lemah lembut.Tidak ada yang lapar memakannya melainkan dia akan kenyang".Kata-kata seperti ini rendah nilai bahasanya yang mustahil diungkapkan oleh seorang utusan Allah.Ibnu Qayyim(w751H) dalam Manar Al-Munif berkata "Dan daripada tanda hadith palsu ialah struktur ayat atau kata-kata yang tidak teratur.Jijik untuk didengari, secara tabii ditolak dan jijik maknanya untuk diterima oleh kebijaksanaan".
6)Selain itu,matan hadith yang sangat jelas bertentangan dengan nas Al-Quran juga merupakan petanda kepalsuannya,seperti hadith "Sekiranya seseorang bersangka baik dengan batu,maka batu akan memberi manfaat kepadanya".
7)Hadith palsu juga bertentangan dengan akal yang waras,contohnya "Sesungguhnya kapal Nabi Nuh as mengelilingi Kaabah tujuh kali dan solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim".
8)Selain itu petanda hadith paslu juga ialah sering dikaitkan dengan kelebihan yang melampau-lampau seperti "Sesiapa yang melakukan Solat Dhuha sekian-sekian rakaat akan diganjari dengan pahala tujuh puluh orang Nabi".
•SEBAHAGIAN KITAB-KITAB YANG MENGUMPUL HADITH PALSU.
1)Tazkirah Al-Huffaz [Ibnu Al-Qaisarani Al-Maqdisi,w 507H].
2)Al-Maudu'at [Ibnu Al- Jauzi,w597H].
3)Al-Hadith Al-Maudu'ah Fi Al-Ahkam Al-Masyruah [Hafiz Dhia Al-Din,Umar b Badr Al-Mausali,w622H].
4)Maudu'at Al-Saghani [Al-Saghani,w650H].
5)Mukhtasar Al-Abathil Wa Al-Maudu'at [Hafiz Al-Zahabi,w748H].
6)Al-Manar Al-Munif fi Al-Sahih Wa Al-Dhaif [Ibn Qayyim Al-Jauziyyah,w751H].
7)Al-lali' Al-Masnuah Fi Al-Ahadith Al-Maudu'ah [Hafiz Al-Suyuti,w911H].
8)Tanzih Al-Syariah Al-Marfuah An Al-Akhbar Al-Syani'ah Al-Maudu'ah [Ibn Iraq Al-Kinani,w963H]
9)Tazkirah Al-Maudu'ah [Muhammad Bin Tahir Al-Hind,w986H].
10)Al-Masnuah Fi Ma'rifah Al-Hadith Al-Maudu'ah [Mula 'Ali Qari,w1014H].
11)Al-Fawaid Al-Majmuah Fi Al-Hadith Al-Maudu'ah [Imam Al-Syaukani,w1255H].
12)Al-Athar Al-Marfuah Fi Al-Hadith Al-Maudu'ah [Muhammad Abdul Al-Hayy Al-Laqnawi,w1304H].
- Naz -
Ulasan
Catat Ulasan