Hadith fitan.
KIAMAT TAHUN 1500 HIJRAH?
(Bidasan Ringkas)
Oleh: Lokman Hakim Ibn Abdul Alim
ISI KANDUNGAN
1. Pendahuluan
2. Menjawab Syubhah: "1500 Tahun"
3. Menjawab Syubhah: "Setiap 100 Tahun"
4. Menjawab Syubhah: "Usia Umat Antara Asar Dan Magrib"
5. Bilakah Kiamat
6. Ahli Facebook Pak Belalang
7. Kesimpulan
.
.
1. PENDAHULUAN
Tersebar dakyah dari dahulu sehingga sekarang mengenai kiamat. Dihitung yang masih baru, iaitu ada mengatakan 2012 kiamat kemudian 2020, kemudian pada 15 Ramadhan 2020 hari Jumaat kiamat.
Agak lucu, ramalan kiamat ini, terlihat berubah-ubah dari satu tarikh ke suatu tarikh tanpa segan-silu dinyatakan bahkan dipercayai pula orang manusia yang kurang cerdik.
Semua dilakukan atas kiraan dan sangkaan semata. Dan dengan jelas dan tegas, kita sebagai umat Islam mengatakab bahawa semua itu dan tekaan yang bakal datang adalah 'hoax' semata.
Ini kerana kiamat adalah perkara ghaib yang tidak diketahui sesiapa kecuali para Rasul, pun begitu Nabi Muhammad tidak tahu bila kiamat dan Jibril selaku pembawa wahyu juga tidak tahu tarikh kiamat.
Tulisan ini akan membantah dua hadith palsu dipopularkan oleh para penghibur serta satu hadith sahih dengan kefahaman yang silap. Dan akan disudahi penutup dengan membawa bebarapa cara berinteraksi dengan hadith kiamat.
.
.
2. MENJAWAB SYUBHAH: "1500 TAHUN"
Hadith: "umat ku tidak sampai 1500 tahun"
Ketahuilah tidak pernah wujud hadith dengan lafaz tersebut, yang ada hanyalah kata-kata tokoh, antaranya ialah al-Suyuthi:
لاَ يَمْكِنُ أَنْ تَكُوْنَ المُدَّةُ أَلْفاً وَخَمْسَمِائَةٍ أَصْلاً
“Tidak mungkin umur umat Islam lebih dari 1500 tahun.”
Kritikan pedas dan bantahan dari Syaikh Rasyid Ridha juga yang membantah pendapat imam al-Suyuthi, dengan katanya:
“Sepertinya, buku beliau dibangun di atas dua hadits palsu dan dusta.” (Tafsir al-Manar)
Imam al-Shan'ani turut membantah kenyataan al-Suyuthi dengan sebuah risalah khusu berjudul كم الباقي من عمر الدنيا؟ (Berapa Baki Umur Dunia?).
Maka jelas bahawa kenyataan dunia akan berakhir sebelum menjelang 1500 adalah suatu pendapat berpaksi pada sandarah reput yang rapuh.
.
.
3. MENJAWAB SYUBHAH: "SETIAP 100 TAHUN"
Mereka yang tidak berautoriti telah melemparkan hadith tanpa tanggungjawab iaitu lafaz:
"setiap 100 tahun pemerintahan islam akan kembali."
Hadith lafaz seperti di atas tidak pernah wujud, dan penulis/penyebarnya perlu takut pada ancaman pembuat hadith palsu. Lafaz mirip yang ada ialah:
إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
"Setiap seratus tahun Allah mengutus kepada umat ini seseorang yang akan memperbaharui agama ini (dari penyimpangan)." (Riwayat Abu Daud)
Itupun diperselisihkan bahawa dikira mengikut tarikh kelahiran atau kewafatan atau hijrah Nabi? Dan diperbahaskan secara panjang oleh para sarjana.
Maka tiada hadith lafaz akan ada khalifah setiap seratus tahun yang ada ialah:
تكون النبوة فيكم ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون خلافة على منهاج النبوة، فتكون ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون ملكاً عاضاً، فتكون ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون ملكاً جبريا، فتكون ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون خلافة على منهاج النبوة.
Telah berlaku zaman kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Dia kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki. Kemudian berlakulah zaman Khalifah (Khulafa ar-Rasyidin) yang berjalan menurut cara zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian diangkat-Nya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (zaman fitnah). Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Dia mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan kuku besi (zaman diktator). Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlakulah Zaman Khalifah (Imam Mahdi) yang berjalan di atas cara hidup zaman kenabian.” Kata Huzaifah RA, “Kemudian Rasulullah SAW diam.” riwayat ini disahihkan atau dihasankan oleh beberapa tokoh.
Maka jelas hadith ini bercanggah dengan kononnya hadith yang dimasyurkan oleh golongan "rapla jingga".
Hadith ini juga jika digabungkan dengan hadith Abu Daud menyatakan bahawa mujadid (pembahru) agama setiap seratus tahun, kita akan fahami makna mujadid bukanlah pemerintah sebaliknya individu pembawa roh Islam kembali seperti zaman Nabi.
.
.
4. MENJAWAB SYUBHAH: "USIA UMAT ANTARA ASAR DAN MAGRIB"
Syubhah dari hadith sahih namun kefahaman songang, iaitu hadith panjang dan secara ringkas matannya:
إِنَّمَا أَجَلُكُمْ فِي أَجَلِ مَنْ خَلَا مِنْ الْأُمَمِ مَا بَيْنَ صَلَاةِ الْعَصْرِ إِلَى مَغْرِبِ الشَّمْسِ
"Sesungguhnya masa hidup kalian dibandingkan masa umat-umat yang dahulu hanyalah bagaikan antara 'Ashar hingga terbenamnya matahari." (Riwayat al-Bukhari).
Hadith ini diulangi tidak kurang lima kali oleh al-Bukhari, pertama dalam kitab Waktu Solat dan kedua kitab Sewa, kemudian di kitab Kisah Para Anbiya, seterusnya di kitab Keutamaan al-Quran dan kitab Tauhid.
Ibn Hajar menyatakan: "Hadith ini dijadikan dalil bahawa umat ini akan hidup lebih dari 1000 tahun." (Fath al-Bari).
Tiada sebarang kenyataan bahawa Ibn al-Hajar setuju bahawa umur dunia 1500 tahun, bahkan beliau hanya menukil sahaja.
Di sisi lain, Ibn al-Rajab lebih jelas syarahannya, tatkala beliau dengan tegas menyatakan:
“Menentukan sisa waktu (umur) dunia dengan bersandar kepada hadits-hadits seperti ini adalah sesuatu yang tidak dibenarkan karena hanya Allah saja yang mengetahui kapan terjadinya kiamat, dan tidak seorang pun yang diberitahu tentang waktunya." (Fath al-Bari)
Ibn al-Rajab turut menambah dengan mengatakan:
“Apa-apa yang disebut dalam (pembahasan) yang demikian itu hanyalah merupakan perkiraan-perkiraan yang tidak berfaedah kepastian." (Fath al-Bari)
.
.
Maka dapat dipastikan bahawa hadith mengenai umur Nabi Muhammad dari atau antara asar ke magrib bukanlah tempoh kiamat.
Bahkan Imam al-Bukhari meriwayatkan pada banyak tempat namun beliau tidak sesekali meriwayatkannya dalam bab kiamat. Tindakan al-Bukhari ini sendiri menjadi dalil bahawa beliau tidak menerima hadith tersebut sebagai penentu tempoh kiamat.
.
.
5. BILAKAH KIAMAT?
Menjawab persoalan ini, suka untuk menukilkan kata-kata emas ramai sarjana antaranya imam Malik:
كل كلام يؤخذ منه ويرد إلا كلام صاحب هذا القبر
"Perkataan orang itu boleh diambil dan boleh ditolak, kecuali perkataan pemilik kubur ini (mengisyaratkan pada kubur Nabi)."
Maka perkataan siapa saja mengenai tarikh kiamat selain Nabi perlu ditolak, kerana ia hal ghaib yang tidak pernah dinyatakan oleh Nabi, sesungguhnya firasat mukmin mana saja tidak akan melebihi wahyu Ilahi dilafaz pada lisan Nabi.
Terdapat banyak hadith menerangkan tanda-tanda kiamat, suasana kiamat, apa terjadi sebelum, semasa dan selepasnya. Namun bila persoalan mengenai bilakah tarikh kiamat, dijawab sendiri oleh Allah:
(یَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَیَّانَ مُرۡسَىٰهَاۖ قُلۡ إِنَّمَا عِلۡمُهَا عِندَ رَبِّیۖ لَا یُجَلِّیهَا لِوَقۡتِهَاۤ إِلَّا هُوَۚ ثَقُلَتۡ فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ لَا تَأۡتِیكُمۡ إِلَّا بَغۡتَةࣰۗ یَسۡـَٔلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِیٌّ عَنۡهَاۖ قُلۡ إِنَّمَا عِلۡمُهَا عِندَ ٱللَّهِ وَلَـٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا یَعۡلَمُونَ)
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".
[Surat Al-A'raf 187]
Sedang Nabi Muhammad ketika ditanya malaikat Jibril bertanya kepada Nabi, bilakah kiamat? Jawab Nabi:
"مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ"
"Orang yang ditanya mengenainya tidaklah lebih mengetahui daripada ditanya." (Riwayat al-Muslim)
Nabi dan Jibril tidak mengetahui bilakah kiamat, melainkan hanyalah petandanya.
Imam Ibn al-Qayyim memberikan kita panduan berinteraksi dengan kenyataan atau hadith mengenai tarikh kiamat, dengan katanya mengenai ciri hadith palsu:
"(Ciri-ciri hadith palsu) jika disebutkan di dalam hadith berkenaan tarikh dan peristiwa yang akan terjadi pada waktu sekian-sekian." (Manar al-Munir)
Kata beliau lagi: "Hadith yang menyebut tarikh kejadian yang akan terjadi berlaku pada masa akan datang kesemuanya palsu." (Ibid)
Secara jelas mengenai kiamat Ibn al-Qayyim berkata:
"Pada zaman sekarang telah jelas pembohongan secara terang-terangan oleh orang yang mendakwa nengetahui waktu berlaku kiamat." (Ibid)
Setalah paparan ini semua, jelaslah bahawa tiada siapa tahu bilakah terjadinya kiamat. Dan semua hadith membawa tarikh kiamat adalah palsu belaka.
.
.
6. AHLI FACEBOOK PAK BELALANG
Muncul ramai yang meramal tarikh dengan mengaitkan peristiwa bahkan matematik juga jadi sandaran tarikh.
Tidak ubah sikap mereka ini seumpama ahli nujum atau dukun dan bomoh yang meramal masa akan datang.
Lebih buruk bila ia dilakukan pemakai jubah dan pengikat serban yang tidak intelektual. Waspadalah peranal dan mereka yang mempercayainya dengan sabda Nabi dalam hal ini:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
"Barangsiapa mendatangi seorang dukun atau peramal kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka ia telah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam." (Riwayat Ahmad)
Kita telah menjawab persoalan dua hadith palsu lafaz dan satu hadith salah faham matan. Dan telah kita ketahui bahawa tiada siapa tahu tarikh kiamat dan semua hadith yang telah atau bakal kita jumpa mengenai tarikh kiamat adalah palsu.
Dan bertanya khabar mereka yang mendakwa kiamat 2012 dan Ramadhan 2020, di mana mereka sorokkan wajah mereka? Oleh itu sekadar peringatan agar kita tidak percaya dan tidak mendawak tarikh atau ramalan tersebut supaya tidak jadi nujum yang dimarahi agama.
.
.
7. KESIMPULAN
Hikmah Allah sengaja merahsiakan tarikh kiamat supaya umat sentiasa berwaspada dan beramal secara ikhlas.
Nabi, sahabat dan imam besar tidak sibukkan diri melakukan ramalan atau matematik mencari bila kiamat. Andai mengetahui tarikh itu baik, pasti Nabi mencarinya.
Namun ada sahabat bertanya bila kiamat, semoga jawapan Nabi kepada sahabat ini menjadi iktibar buat kita:
Diriwayatkan dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu bahwa ada orang arab badui yang bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang kapan kiamat. Beliau justru balik bertanya:
وَيْلَكَ، وَمَا أَعْدَدْتَ لَهَا
“Celaka kamu, apa yang kamu persiapkan untuk kiamat ?”(HR. Bukhari, Muslim dan Tirmidzi).
Ibn Katsir mengulas hadith ini, dengan katanya:
"Di dalam hadis ini terkandung pengertian bahwa Rasulullah Saw. apabila ditanya tentang sesuatu hal yang tidak perlu mereka ketahui, maka beliau Saw. memberinya petunjuk kepada sesuatu yang lebih penting daripada itu, yaitu membuat persiapan bekal untuk menyambut hari kiamat dan mempersiapkan diri sebelum kedatangannya, sekalipun mereka tidak mengetahui waktunya secara tepat. (Tafsir al-Quran al-Adzhim)
Agama tidak suruh kita cari tarikh sebaliknya menyarankan agak melakukan persediaan menghadapinya. Kiamat al-Kubra berlaku atau tidak, ingatlah kiamat al-Sughra (mati) pasti akan kita hadapi.
Bersedialah dengan amal dan jauhi syirik, bid'ah dan hindari terjermus dalam menyebarkan hadith palsu.
Wallahu'alam
2 Jamadilakhir 1442
Ulasan
Catat Ulasan