Kesungguhan para ulama dalam rihlah mencari ilmu.
LEMBARAN KESUNGGUHAN PARA 'ULAMA DALAM RIHLAH MENCARI ILMU
•Para ulama menempatkan rihlah(pengembaraan mencari ilmu) pada kedudukan yang sangat tinggi untuk mereka yang menempuh jalan mencari ilmu.Mereka menganggap rihlah sebagai syarat bagi kemantapan ilmu seorang ulama dan pengiktirafan terhadap ilmunya.
•Banyak buku-buku dikarang semata-mata untuk menceritakan kesungguhan para ulama dalam rihlah mereka.Antaranya ialah kitab Al-safahatu Min Sabr Al-Ulama,karya Syeikh Abdul Fattah Abi Ghuddah(w1417H) menjadi saksi bisu kecekalan para ulama dalam perjuangan mencari ilmu.
•Kisah-kisah pahit getir mereka ketika mengembara mencari ilmu dimerata dunia,pengorbanan masa dan terpisahnya mereka dari kampung halaman seakan-akan menjadi ubat mujarab bagi kelesuan dan putus asa para penuntut ilmu di zaman ini.Setelah membaca lembaran hidup mereka,seolah-olah telah tersuntik kembali semangat yang hilang,tersemat semula keazaman yang luntur dan terkota semula sumpah dan janji ketika mula-mula menuntut ilmu.Oleh sebab itulah Ibnu Al-Jauzi(w597H) menyebut dalam Muqaddimah kitab Al-lughat Fi Hikayat Al-Solihin,dengan menukilkan perkataan Malik bin Dinar "الحكاية تحفة الجنة"
"Cerita-cerita mereka merupakan hadiah dari syurga"
•Al-Junaid berkata
"الحكاية جنظ من جنود الله تعالى يقوي بها الله ايمان المريدين"
(Cerita-cerita mereka merupakan sebahagian tentera daripada tentera-tentera Allah swt yang dengannya Allah perkuatkan iman/hati orang yang ingin mendapatkan redhanya)
•Ibnu Khaldun(w808H) dalam Muqaddimahnya berkata :
"أن الرحلة في طلب العلوم ولقاء المشايخ مريد كمال في التعليم "
(Sesungguhnya kembara pada ketika mencari ilmu yang dilakukan murid dan bersemuka dengan para guru merupakan satu bentuk kesempurnaan di dalam proses pembelajaran).
•Hafiz Muhaddith Ibn Rush Al-Maqdisi(w657H) memuji tindakkan yang dilakukan oleh para penuntut ilmu ketika mana mereka membuat keputusan untuk meninggalkan tanah air mereka.Beliau berkata di dalam untaian syair:
•تَغرّب وَلا تحفل بِفُرقة مَوطن
تَفُز بِالمُنى في كُلّ ما شئت مِن حاج
فَلولا اِغتراب المسك ما حَلّ مفرقاً
وَلَولا اِغتِرابُ الدُرّ ما حَلَّ في التاج
(Pergi jauh mengembara dan jangan pedulikan dengan terpisahnya dari kampung halaman...
Engkau akan mendapat apa yang engkau cita-citakan pada setiap yang kamu harapkan...
Kalaulah bukan kerana terasingnya kasturi dari bekasnya,pasti ia tidak akan berada di antara belahan rambut si pemakainya...
Dan kalau bukan kerana terpisahnya permata dari tempat asalnya,pasti ia tidak berada di atas mahkota para raja).
Syair ini menggalakkan untuk seorang penuntut ilmu atau para ulama mengembara menuntut ilmu dengan cara meninggalkan bumi kelahiran mereka.Memenuhkan dada dengan ilmu dan seterusnya menjadi generasi yang memberi manfaat kepada umat.Samalah seperti wangian kasturi.Ia tidak akan dapat mewangikan rambut atau badan orang yang memakainya,jika masih berada pada tempat asalnya(kantung kasturi pada badan kijang).Begitu juga permata,jika ia masih berada pada tempat asalnya(perut bumi/batuan) pasti ia tidak dapat menjadi penghias mahkota raja-raja.
•Perjalanan yang jauh dan pelusuk bumi yang luas diterokai hanya semata-mata untuk mengetahui sepotong hadith bahkan untuk mengetahui satu kalimah(perkataan) sahaja.Ini bukan suatu pekara yang menghairankan.
Ibnu Abdil Bar(w463H) dalam Jami' Bayan Al-Ilmi Wa Fadhlih menyebutkan :
" أن مسروق رحل في حرف وأن ابا سيد رحل في حرف "
(Masruq bin Ajda' dan Abu Said(Hasan Al-Basri) melakukan perjalanan semata-mata hanya untuk mengetahui satu huruf/perkataan).
•Dr.Fuad Syazkin dalam kitab Tarikh At-Turath Al-Arabi menyatakan pada biografi Baqi' bin Makhlad bhawa Baqi' bin Makhlad Al-Qurtubi pernah melakukan perjalanan sebanyak dua kali menuju ke Mesir,Hijaz,Syam dan Baghdad untuk menuntut ilmu.Perjalanan pertama mengambil masa selama 14 tahun dan perjalanan ke dua mengambil masa 20 tahun.Kedua-dua perjalanan dilakukan dengan berjalan kaki dari Sepanyol.
•Imam Al-Zahabi(w748H) dalam Tazkirat Al-Huffaz mengatakan bahawa Imam Ibnu Mandah(w395H) belajar ketika usia 20 tahun.Beliau pulang ke tanah air pada usia 65 tahun.45 tahun usianya telah dihabiskan dalam mencari ilmu.Pada usia 65 tahun,barulah beliau berkahwin.Imam Ibnu Mandah berkata "Aku mengelilingi timur dan barat sebanyak dua kali".
•Al-Hafiz Imam Ubaidullah Bin Said Bin Hatim Abu Nasr Al-Sijzi berkata: "Aku tinggalkan Sijistan dengan niat menuntut ilmu.Jika aku bernikah,maka hilanglah gelaran penuntut ilmu dariku dan aku tidak akan mengutamakan apa-apa pun daripada pahala menuntut ilmu".
•Qadi Ibnu Khalikan(w681H) dalam kitab Wafayat Al-a'yan menyebutkan tentang Muhammad Bin Umar Al-Khawarizmi Al-Zamakhsyari(w538H). Beliau berkata "Aku pernah mendengar para masyaikh(guru) berkata :"Salah satu kaki Imam Zamakhsyari terputus.Kemudian beliau berjalan menggunakan kayu.Beliau memulakan permusafiran ilmu ke kota Khawarizm.Semasa di tengah-tengah perjalanan,beliau melalui kawasan bersalji,udara di situ sangat dingin.(Disebabkan cuaca itulah) telah memutuskan salah satu kakinya".
•Kata Hakim Naisaburi(w405H) dalam kitabnya Ma'rifah Ulum Al-Hadith ketika memuji penuntut ilmu hadith : "Merekalah yang membuatkan pembesar dan penguasa dunia ingin bersifat dengan sifat-sifat mereka dan berhias dengan tanda-tanda mereka bahkan ingin duduk di tempat mereka".Lalu beliau menyebutkan "Mereka itulah orang-orang yang menempuh jalan orang-orang yang soleh,yang mengikuti jejak-jejak Ulama Salaf pada zaman dahulu dan yang mengalahkan pelaku-pelaku bidaah dan orang-orang yang tidak mengikuti ajaran agama dan hadith Nabi Saw.Mereka mengutamakan gurun sahara yang tandus dan tempat yang tiada penghuni berbanding bersenang-lenang di kampung halaman bersama keinginan hati mereka.Mereka berseronok dengan kesengsaraan yang dialami dalam perjalanan dan bergaul dengan ahli ilmu dan hadith.Mereka berasa cukup ketika mengumpulkan hadith dan riwayat para sahabat berbekalkan sedikit roti kering dan memakai pakaian yang lusuh.Mereka menjadikan masjid sebagai rumah mereka,tiang masjid sebagai tempat mereka bersandar,tikar-tikar masjid sebagai alas mereka.Mereka membuang dunia dan segala kesenangannya di belakang.Mereka menjadikan menulis hadith sebagai sarapan pagi mereka,berdebat sebagai waktu jaga mereka,muzakarah sebagai istirehat mereka,tinta dan dakwat sebagai minyak wangi mereka,terlelap sebagai tidur mereka,cahaya sebagai penghangat dan batu sebagai bantal mereka.Pada malam hari,mereka sibuk menulis hadith yang mereka dengari,mentashihkan hadith yang mereka kumpul,mereka meninggalkan tempat tidur empuk dan menyenangkan.Ketika mereka dihinggapi rasa mengantuk yang membuatkan mereka tertidur,lalu pena ditangan mereka terjatuh akibat lena yang sedikit,lantas mereka segera terbangun dengan perasaan menyesal dan berdosa".
.Khatib Al-Baghdadi(w463H) menukilkan dalam kitabnya, Jami' li Akhlaqi Al-Rawi Wa Adab Al-Sami' daripada Abu Ahmad Nasr Ahmad Al-Iyadhi Al-Faqih Al-Samarqandi :
"لا يزال هذا العلم الا من عطل دكانه وخرب بستانه وهجر اخوانه ومات اقرب اهله اليه فلم يشهد جنازته"
(Ilmu ini tidak akan dapat tercapai melainkan terhadap orang yang menyebabkan kedainya terbiar,merosakkan(tidak mempedulikan) kebunnya,meninggalkan saudara-saudaranya,mati keluarga terdekatnya sedangkan dia tidak menyaksikan jenazah saudaranya tersebut).Qadhi Badruddin Ibn Jamaah dalam kitabnya Tazkirat Al-Sami' Wa Al-Mutakallim Bi Adab Al-Alim Wa Muta'alim selepas menukilkan akan perkataan Khatib Al-Baghdadi,beliau menyebutkan bahawa semua ini sekalipun dilihat seperti keterlaluan,tetapi maksudnya ialah dalam menuntut ilmu seseorang hendaklah membulatkan tekad hatinya dan menumpukan fikirannya terhadap ilmu.
•Al-Bukhari(w256H) terbangun dari tidurnya lalu menyalakan lampu dan menulis idea ilmu yang terlintas pada fikirannya.Kemudian memadam semula lampunya,kemudian terbagun semula dan melakukan perkara yang sama sehingga hampir dua puluh kali.Ini menunjukkan kesungguhan yang ada pada penuntut ilmu yang sentiasa memikirkan ilmu sehingga tidak dapat tidur lena.
•Imam Malik(w179H) pernah merasakan keperitan hidup semasa menuntut ilmu sehingga beliau meroboh dan menjual kayu atap rumahnya.Peristiwa ini telah disebut oleh ulama Mazhab Maliki sendiri iaitu Qadhi Iyad(w549H).Beliau menceritakan dalam kitabnya Tartib Al-Madarik Li Ma'rifah 'Alam Mazhab Malik dengan menukilkan perkataan Ibn Qasim.Berkata Ibnu Qasim "Imam Malik menceritakan keperitannya menuntut ilmu sehingga terpaksa meruntuhkan atap rumahnya dan menjual kayu atap tersebut.Tetapi selepas itu dunia hadir dalam hidupnya".Seterusnya Qadhi Iyad menukilkan perkataan Imam Malik : "Ilmu ini tidak dapat dicapai hinggalah dia merasai makanan orang faqir"
•Guru Imam Bukhari dan Imam Muslim,iaitu Yahya Bin Ma'in(w233H) telah mewarisi harta peninggalan ayahnya sebanyak 1.5 juta dirham.Semua harta tersebutbtelah dibelanjakan untuk mendapatkan hadith sehingga sepasang selipar pun beliau tidak mampu untuk memilikinya.
•Bahkan tidak keterlaluan juga apabila sebahgian ulama sanggup meninggalkan kelazatan berumah tangga demi ilmu.Maka tertulislah buku "Ulama Al-Uzzab"(Ulama yang hidup membujang) yang memilih untuk tidak bernikah.Antaranya ialah Imam Bisyr Al-Hafi,Mufassir Ibn Jarir Al-Tobari,Imam Abu Ishaq Al-Syirazi,Imam An-Nawawi,Sayyid Ahmad Al-Badawi dan sebagainya.
-Si Pencinta ilmu-
Ulasan
Catat Ulasan