METODOLOGI MUKTALIF HADITH IBNU QUTAIBAH (BAHAGIAN 2)



METODOLOGI MUKTALIF HADITH IBNU QUTAIBAH (BAHAGIAN 2)

•Sufyan Bin Uyainah(w 198H berkata bahawa hadith adalah padang pasir yang menyesatkan kecuali bagi para Fuqaha'.Ini bermakna semata-mata memahami makna hadith secara literal masih tidak cukup untuk memahami sesebuah hadith.Tidak memadai hanya dengan menguasai Bahasa Arab sahaja,tetapi menjadi kewajiban bagi para pengkaji hadith untuk menguasai kaedah-kaedah fiqh.

•Ibnu Qutaibah tidak terkecuali daripada menjalankan analisis teks hadith dari sudut Usul Fiqh untuk menetapkan Metodologi Mukhtalif Hadith beliau.Analisis dan kajian dari sudut Ilmu Usul Fiqh ini terbahagi kepada beberapa bahagian.

a)Kajian dari sudut Al-Sunnah(Hadith) memperincikan atau menjelaskan makna umum Al-Quran.

b)Kajian yang berkaitan dengan sifat perbuatan Nabi saw.

c)Kajian berkenaan pengkhususan hukum bagi orang-orang tertentu.

d)Kajian berkenaan perbezaan yang disengajakan(Ikhtilaf Mubah)

e)Kajian berkaitan Nasakh(Pembatalan hukum syara')

f)Kajian yang melibatkan Tarjih(Sokongan atau memenangkan salah satu daripada hadith-hadith yang bertentangan).

•KAJIAN DARI SUDUT AL-SUNNAH(HADITH) MENJELASKAN MAKNA AL-QURAN.

•Menurut Ibnu Qutaibah,Hadith merupakan penjelas bagi Al-Quran.Ia menjelaskan kesamaran sesuatu pekara yang tidat dibincangkan dalam Al-Quran.

•Al-Quran sifatnya berbicara secara umum(tidak detail) dan singkat.Maka Al-Sunnah hadir untuk menjelaskan makna Al-Quran yang bersifat umum tersebut.

•Contohnya,dalam Surah Al-Jathiah ayat 26,
قل لله يحييكم ثم يميتكم ثم يجمعكم الي يوم القيامة لا ريب فيه ولكن اكثر الناس لا يعلمون.
(Katakanlah :Allah swt yang telah menghidupkan kamu,kemudian mematikan kamu,kemudian menghimpunkan kamu semua pada hari Qiamat yang tidak ada keraguan tentang (kewujudannya).Akan tetapi kebanyakkan manusia,tidak mengetahui).
Muktazilah ketika menafikan kewujudan siksaan kubur mengatakan bahawa Allah swt tidak membangkitkan manusia setelah mati untuk menerima siksa kubur.Ini menunjukkan siksa kubur tidak wujud.Lantas Ibnu Qutaibah menjelaskan bahawa Al-Quran sekalipun tidak menyebut secara jelas berkenaan azab siksaan ketika di dalam kubur,namun ada beberapa isyarat daripada ayat Al-Quran yang lain menunjukkan wujudnya siksa ataupun azab lain yang akan manusia terima selain daripada azab api neraka.Kemudian hadith hadir ditengah-tengah penafian Muktazilah untuk membuktikan bahawa thabitnya (wujudnya) azab kubur.Banyak hadith-hadith yang membicarakan tentang azab yang berlaku di alam kubur.

•KAJIAN BERKAITAN SIFAT PERBUATAN NABI SAW.

•Apabila berlakunya percanggahan di antara dua perbuatan Nabi saw,maka ini akan membawa kepada beberapa perbincangan ilmiah.Kontradiksi dan percanggahan pada perbuatan Nabi saw adakalanya  disengajakan untuk menunjukkan keharusan melakukan kedua-dua perkara tersebut ataupun untuk menunjukkan salah satu daripada perbuatan tersebut merupakan 'azimah(hukum asal) dan yang satu lagi menunjukkan rukhsah(keringanan pada masa-masa tertentu).

•Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmizi menyebutkan bahawa Aisyah ra mengatakan bahawa Rasulullah saw tidak pernah kencing berdiri.Namun Hadith riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan bahawa Huzaifah bin Al-Yaman ra menyebutkan bahawa beliau pernah melihat Rasulullah saw kencing dalam keadaan berdiri.Muktazilah mengatakan kedua-dua hadith ini bertentangan antara satu sama lain.

•Ibnu Qutaibah menjelaskan bahawa Rasulullah saw kebiasaannya kencing dalam keadaan duduk.Namun tidak bermakna kencing berdiri itu ditegah dan haram secara mutlak,lebih-lebih lagi ketika darurat.Ibnu Qutaibah mengatakan bahawa sebab Rasulullah saw kencing berdiri adalah kerana ketika itu Rasulullah Saw berada pada suatu tempat yang tidak memungkinkan untuk baginda saw kencing duduk.Maka keadaan inilah yang menjadi faktor harusnya untuk kencing dalam keadaan berdiri.

•KAJIAN YANG BERKAITAN DENGAN PENGKHUSUSAN HUKUM BAGI ORANG YANG TERTENTU SAHAJA.

•Ini merupakan khususiat untuk segelintir manusia sahaja.Nabi saw memiliki khususiat tersendiri dari sudut hukum syara'.

•Muktazilah mengatakan bahawa hadith Nabi saw mencium isterinya ketika puasa bertentangan dengan hadith Maimunah bin Saad ra yang mana Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa seorang lelaki akan terbatal apabila mencium isterinya.

•Ibnu Qutaibah menjawab bahawa ciuman yang boleh membatalkan puasa ialah ciuman yang mengandungi unsur syahwat sedangkan Rasulullah saw adalah orang yang paling mampu untuk menjaga syahwatnya.Jadi ciuman Nabi saw terhadap isteri Baginda tidak membatalkan puasa kerana tidak mengandungi unsur syahwat.

•Nota:Abu Ja'far At-Thohawi memiliki hujjah yang cukup kuat untuk mengatasi pertembungan kedua-dua hadit tersebut.Beliau mentarjihkan(memenangkan) hadith yang menyatakan puasa tidak akan terbatal apabila mencium isteri.Ini kerana hadith Maimunah Bin Saad sangat lemah dan tidak dapat dijadikan hujjah,kerana sorang perawi dalam sanad hadith tersebut yang bernama Yazid Al-Qalbi adalah perawi Majhul(tidak diketahui/dikenali).

•KAJIAN BERKAITAN PERBEZAAN YANG DISENGAJAKAN(IKHTILAF MUBAH).

•Kadangkala kedua-dua hadith yang seolah-olah saling bertentangan antara satu sama lain sebenarnya tidak bertentangan.Kedua-dua hadith tersebut memang segaja dilakukan untuk menunjukkan keharusan melakukan kedua-dua perkara tersebut.

•Contohnya,hadith Abu Ayyub Al-Ansari ra daripada Rasulullah saw:
"Jangan kamu menghadap atau membelakangi Kiblat ketika kencing atau buang air besar"(Bukhari).Hadith ini jelas bertentangan dengan hadith Aisyah ra yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memerintahkan untuk menghadapkan tempat buang air Baginda saw ke Kiblat apabila Baginda saw mendengar bahawa orang ramai tidak menyukai untuk menghadap ke kiblat ketika membuang air.

•Ibnu Qutaibah menjelaskan bahawa kedua-dua hadith ini tidak bertentangan antara satu sama lain,tetapi kedua-dua hadith ini berlaku pada dua tempat yang berbeza.Hadith Abu Ayyub Al-Ansari ra dipraktikkan ketika membuang air di tempat yang terbuka seperti di kawasan padang atau kawasan lapang.Hadith Aisyah ra pula menunjukkan perbuatan membuang air ketika berada di kawasan tertutup seperti dalam rumah(bangunan/bukan kawasan terbuka).'Ilat atau faktor Rasulullah saw melarang menghadap Kiblat ketika membuang air di kawasan lapang adalah untuk menghormati Kiblat.Sedangkan tidak dilarang menghadap Kiblat ketika di dalam rumah/bilik air kerana ada penghadang antara Kiblat dan orang yang qada' hajat.

•KAJIAN BERKAITAN NASAKH(PEMANSUKHAN ATAU PEMBATALAN HUKUK SYARA').

•Nasakh bermaksud pembatalan hukum syara'.Hukum syara' yang datang kemudian akan menasakhkan hukum syara' yang datang dahulu.Nasakh merupakan satu bab penting untuk dikaji.Imam Syafie menolak konsep nasakh Al-Quran dengan Sunnah atau Sunnah dengan Al-Quran.

•Menurut Ibnu Qutaibah,Al-Sunnah dapat menasakhkan Al-Quran kerana kedua-duanya adalah wahyu.Penasakhan Al-Quran dengan Al-Sunnah pada hakikatnya merupakan penghapusan wahyu Allah  yang berupa Al-Quran dengan wahyu yang berupa Al-Hadith.Hakikatnya,kedua-duanya adalah wahyu.

•Muktazilah berkata bahawa Ahli Hadith meriwayatkan hadith berkenaan Nabi saw menolak untuk menyembahyangkan orang yang meninggal dunia yang belum melunaskan hutangnya.Hal ini bertentangan dengan sebuah lagi hadith "Sesiapa yang meninggalkan harta,maka ia untuk keluarganya,sesiapa yang meninggalkan hutang,maka hutang itu adalah untuk diriku(Nabi saw) yang melunaskannya.Hadith lain yang lafaznya hampir serupa "Sesiapa yang meninggalkan tanggungan(hutang),maka diserahkan kepada Allah dan Rasulnya".

•Ibnu Qutaibah mengatakan keenggangan Nabi saw untuk solat ke atas jenazah orang yang mati sebelum melunaskan hutang adakah pada peringkat awal Islam untuk menunjukkan pentingnya menjaga hak(hutang) orang lain agar umat islam tidak mengambil ringan tentang perkara tersebut.Namun setelah umat Islam menguasai banyak tanah jajahan dan memiliki harta yang cukup serta wujudnya Baitulmal,maka Rasulullah saw yang mengambil tanggungjawab untuk membayar hutang sipenghutang melalui harta Baitulmal.Baginda saw bersabda"Sesiapa yang berhutang,maka aku akan membayarnya".

•Muktazilah juga mengatakan ada pertentangan antara hadith yang melarang untuk mencatat hadith.Namun,di tempat lain ada pula hadith yang membolehkan untuk hadith ditulis dan dicatat.

•Hadith Abu Said Al-Khudri ra daripada Nabi saw,bahawa baginda melarang mencatat atau menulis hadith 
"لا تكتبوا عني و من كتب عني غير القراءن فليمحه"(Muslim)
Sedangkan hadith Abdullah Bin Amr ra membenarkan untuk mencatat hadith.Nabi saw bersabda "Ikatlah ilmu".Aku(Abdullah) bertanya bagaimana mengikatnya.Baginda menjawab "dengan menulisnya".

•Ibnu Qutaibah berkata inilah contoh Al-Sunnah menasakhkan Al-Sunnah.Pada mulanya Nabi Saw melarang menulis hadith kerana bimbang akan bercampur dengan wahyu Al-Quran.Namun Nabi saw akhirnya membenarkan untuk menulis hadith kerana bimbang hadith akan lenyap dan hilang.Bahkan ketika itu telah ramai orang islam yang menghafal Al-Quran,maka sangat mustahil kedua-dua wahyu tersebut akan bercampur aduk.

•KAJIAN YANG MELIBATKAN TARJIH(SOKONGAN ATAU MEMENANGKAN SALAH SATU DARIPADA HADITH-HADITH YANG BERTENTANGAN).

•Tarjih bermaksud "memenangkan" salah satu hadith yang bertentangan.

•Faktor-faktor tarjih ada pelbagai jenis.Ibnu Qutaibah seringkali memenangkan hadith yang mana kandungan hadith tersebut disokong oleh hadith yang lain dan memenangkan hadith yang diriwayatkan oleh orang yang menyaksikan peristiwa tersebut.

•Sebagai contoh,Ibnu Qutaibah mentarjihkan  (memenangkan) pendapat Abu Hurairah ra yang menceritakan bahawa Nabi saw menyiram tanah masjid yang terdapat padanya sisa kencing seorang Badwi.Ibnu Qutaibah kemudian menolak hadith Abdullah Bin Ma'qil Bin Muqarrin yang mengatakan bahawa baginda saw memerintahkan untuk menggali dan membuang tanah yang terdapat padanya sisa kencing seorang Badwi.Ini kerana,menurut Ibnu Qutaibah,hadith Abu Hurairah ra lebih sahih berbanding hadith Abdullah Bin Ma'qil Bin Muqarrin kerana Abu Hurairah ra merupakan saksi yang menyaksikan sendiri perbuatan Nabi Saw yang menyiram tanah sisa kencing tersebut,sedangkan Abdullah bukan sahabat dan tidak pernah berjumpa Nabi saw serta tidak menyaksikan peristiwa itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Waktu anak diperintahkan beribadah.

MANHAJ AL-TARJIH & AL-TAKHRIJ BAHAGIAN SATU

FATWA AJARAN BATINIYYAH (EN. WAN HIZAM BIN ABDULLAH, EN. ISMAIL ARIFFIN@LEPAT)