Rahsia tarjamatul.
RAHSIA TARJAMATUL BAB(TAJUK TOPIK HADITH) IMAM BUKHARI DI DALAM KITAB SAHIHNYA.
•Kredibiliti dan kesarjanaan Imam Bukhari tidak terhad kepada bidang hadith sahaja,bahkan beliau tergolong juga dalam kalangan Imam Mujtahid dalam bidang Fiqh.Meneliti dan menelusuri karya Sahih Bukhari beliau,akan kita dapati bahawa bukanlah sekadar karya hadith semata-mata.
Bahkan tersembunyi rahsia pada pengistinbatan
(pengeluaran) hukum fiqh padanya.
•Seni fiqh Al-Bukhari dapat dikesan melalui tarjamatul bab(tajuk topik hadith) yang beliau letakkan pada bab-bab hadithnya.Maka,untuk memahami fiqh Al-Bukhari,para pengkaji perlu meneliti dan mengkaji tarjamatul bab beliau.
•Namun,khazanah fiqh Al-Bukhari tidak begitu berkembang seperti berkembangnya mazhab fiqh yang lain sehingga akhirnya khazanah fiqh Al-Bukhari hampir-hampir tidak diketahui oleh masyarakat.
•Dari sudut yang lain,Al-Bukhari diangkat sebagai ilmuan bermazhab Syafie kerana pendapat-pendapat Al-Bukhari selari dan bersesuaian dengan Mazhab Syafie,walaupun sebahagian pengkaji beranggapan dan menegaskan bahawa Al-Bukhari memiliki mazhab fiqhnya sendiri.
•Realitinya,fiqh Al-Bukhari tersembunyi pada Tarjamatul Bab beliau.Ia tidak dihidangkan sedia ada seperti yang tertera di dalam karya-karya fiqh yang lain.
•Penguasan ilmu Dirayah Al-Hadith merupakan aspek penting yang perlu dikuasai para Mujtahid.
Ilmu Dirayah seperti Gharib Al-Hadith,Mukhtalif Hadith,Asbab Wurud Al-Hadith perlu dikuasai sebaik mungkin agar pengistinbatan hukum dapat dilakukan dengan tepat.Sangat mengagumkan,
aspek riwayah dan dirayah hadith bersemadi erat di dada Al-Bukhari.
•Syeikh Nuruddin Itr mengatakan metodologi tarjamatul bab Al-Bukhari terbahagi kepada tiga kategori:
-Tarjamah Al-Zahirah
-Tarjamah Al-Istinbatiyyah
-Tarjamah Al-Mursalah
1)Tarjamah Al-Zahirah.
•Tarjamah Al-Zahirah ialah perletakkan tajuk bab yang mudah difahami kerana ia selari dengan hadith yang akan Al-Bukhari sebutkan,serta tidak memerlukan kepada kajian yang mendalam untuk memahami maksud Al-Bukhari.
•Antara ciri terpenting yang Al-Bukhari gunakan pada perletakkan Tarjamah Al-Zahirah ialah beliau menggunakan ayat Al-Quran untuk membuat Tarjamahtul bab.Beliau melakukan begitu adalah bertujuan untuk mentafsirkan ayat Al-Quran melalui perletakkan hadith di bawah tarjamatul bab dan menjadikan ayat Al-Quran itu sebagai dalil umum.
Kemudian dalil daripada ayat Al-Quran ini diperkuatkan lagi dengan membawa datang hadith yang selari dengan maksud ayat tersebut.Sebagai contoh,pada Kitab Al-Iman dalam Sahih Bukhari, beliau meletakkan ayat Al-Quran sebagai Tarjamatul Bab.
"فَإِن تَابُواْ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ فَخَلُّواْ سَبِيلَهُمْ ۚ "
[ Jika sekiranya mereka bertaubat (dari kekufuran) mendirikan solat dan membayar zakat.Maka biarkanlah mereka(jangan diganggu) ].
Kemudian Al-Bukhari mendatangkan hadith Ibnu Umar,bahawa Rasulullah saw bersabda :
وعَن ابن عُمَر رَضِيَ اللَّه عنْهَما، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أُمِرْتُ أَن أُقاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَن لا إِلهَ إِلاَّ اللَّه وأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، ويُقِيمُوا الصَّلاةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكاةَ، فَإِذا فَعَلوا ذلكَ، عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وأَمْوَالَهم إِلاَّ بحَقِّ الإِسلامِ، وحِسابُهُمْ عَلى اللَّهِ .
[Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah, mendirikan solat dan menunaikan zakat.Apabila mereka telah melakukan sedemikian,maka terpeliharalah darah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan hak Islam,serta urusan hitungan amalan mereka terserah kepada Allah].
•Melalui Tarjamatul Bab dan hadith yang didatang- kan Al-Bukhari ingin menyatakan bahawa "taubat" yang disebut dalam Tarjamatul Bab(ayat Al-Quran) ialah taubat daripada melakukan syirik,ini dijelaskan melalui hadith yang telah beliau datangkan.
•Metodologi Tarjamatul Bab Al-Zahirah Imam Bukhari juga dapat dikesan melalui perletakkan Hadith Marfu' yang tidak menepati syarat hadith Sahih Al-Bukhari digunakan sebagai Tarjamatul Bab.Kemudian beliau mendatangkan pula hadith yang mengikut syarat hadith Sahih Bukhari sebagai Syawahid kepada Hadith Marfu' itu.
•Selain itu,Al-Bukhari juga menggunakan hadith yang berada di dalam kitabnya sebagai Tarjmatul Bab dan menta'likkan hadith itu untuk dijadikan sebagai Tarjamatul Bab.Contonya pada Kitab Al-Ahkam dalam Sahih Bukhari:
" باب الأمرآء من قريش"
[Bab menyatakan tentang pemerintah berasal dari keturunan Quraisy]
•Tarjamatul Bab ini merupakan sebahagian lafaz hadith tetapi tidak menepati syarat hadith sahih Imam Bukhari,kemudian beliau mendatangkan pula hadith yang menepati syarat hadith sahih beliau di bawah bab ini.
"إن هذا الأمر في قريش لا يعاديهم أحد إلا أكبه الله في النار على وجهه ما أقاموا الدين"
[Sesungguhnya urusan ini berada dalam kekuasaan orang Quraisy,tidak seorang pun akan menentang mereka melainkan Allah akan menterbalikkan wajahnya(si penentang) selagi mereka(Amir) melaksanakan tuntutan agama]
Juga hadith:
"لا يزال الامر في قريش ما بقى منهم اثنان"
[Sentiasa urusan ini berada di tangan kaum Quraisy walaupun masih berbaki dua orang daripada kaum mereka].
•Kedua-dua hadith ini merupakan Syawahid kepada hadith Tarjamatul Bab.Al-Bukhari ingin menyatakan pendiriannya bahawa sebahagian dari syarat kekuasan pemerintahan ialah pemimpin hendaklah berasal dari bangsa Quraisy.
2)Tarjamah Al-Istinbatiyyah.
•Tarjamatul Bab yang berbentuk istinbatiyyah pada zahirnya seakan-akan tidak ada kaitan dan tidak sesuai dengan hadith yang diletakkan di bawahnya. Maka ia memerlukan kajian dan pemikiran kritis untuk memahami maksud Al-Bukhari.Imam Bukhari seterusnya menerbitkan hukum melalui hadith daripada tariq(jalan periwayatan) yang lain.contoh-
nya pada Kitab Al-Solah dalam dalam Sahih Bukhari,beliau menulis:
"باب الشعر في المسجيد"
[Bab bersyair di dalam masjid].
•Kemudian Al-Bukhari membawa datang sanad dan matan hadith:
"حدثنا أبو اليمان الحكم بن نافع قال أخبرنا شعيب عن الزهري قال أخبرني أبو سلمة بن عبد الرحمن بن عوف أنه سمع حسان بن ثابت الأنصاري يستشهد أبا هريرة أنشدك الله هل سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول يا حسان أجب عن رسول الله صلى الله عليه وسلم اللهم أيده بروح القدس قال أبو هريرة نعم".
[Telah menceritakan kepada kami Abu Al-Yaman Al-Hakam Bin Nafi' bahawa berkata:"telah mengkhabarkan kepada kami Syuaib daripada Al-Zuhri bahawa dia berkata :"Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Salamah Bin Abdul Rahman Bin Auf bahawa dia mendengar Hasan Bin Thabit meminta Abu Hurairah menjafi saksi dengan berkata : "Aku meminta kepadamu dengan nama Allah,apakah kamu pernah mendengar Rasulullah Saw bersabda : "Wahai Hassan,tolong jawab untuk Rasulullah saw. Wahai Allah,kuatka dia dengan Roh Al-Quddus (Malaikat Jibril).Abu Hurairah menjawab:"Ya"].
•Badruddin Ibnu Jamaah dalam kitab Munasabat Tarajim Al-Bukhari mengatakan bahawa hadith Abu Salamah ini tidak menunjukkan beliau berada di dalam masjid.Namun ada Tariq(jalan periwayatan) lain yang menunjukkan Abu Salamah berada di dalam masjid.Maka seakan-akan Al-Bukhari menyerahkan tugas untuk mengistinbat hukum tersebut kepada pengkaji kitabnya.
•Ada ketikanya Al-Bukhari membuat Tarjamatul Istinbatiyyah dengan cara beliau akan menyesuaikan Tarjamatul Bab dengan hadith melalui metodologi kesimpulan(Tariq Al-Istintaj) kerana terdapat hubungan yang erat antara Tarjamatul Bab dengan hadith.Imam Bukhari menulis pada Tarjamatul Bab beliau :
"باب اهل العلم والفضل أحق بالإمامة"
[Bab tentang ahli ilmu dan orang yang mempunyai kelebihan adalah lebih berhak untuk menjadi imam].
Kemudian Imam Bukhari meletakkan di bawah Tarjamatul Bab ini hadith dengan pelbagai Tariq (jalan periwayatan) dan lafaz yang hampir serupa, iaitu hadith tentang keuzuran Nabi saw untuk menjadi imam solat dan baginda saw meminta agar Abu Bakar Al-Siddiq ra menggantikan tempat bginda saw.
"قَالَتْ عَائِشَةُ إِنَّهُ رَجُلٌ رَقِيقٌ، إِذَا قَامَ مَقَامَكَ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُصَلِّيَ بِالنَّاسِ. قَالَ " مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ "
•Walaupun hadith yang diletakkan di bawah tajuk ini menunjukkan ketidakmampuan Abu bakar ra untuk
menjadi imam kerana beliau seorang yang lemah lembut,tidak bersuara nyaring dan sebagainya, namun Nabi saw tetap mendahulukan Abu Bakar ra untuk menggantikan tempat baginda saw menjadi imam kerana kelebihan dan keutamaan yang ada pada Abu Bakar ra.
•Cara lain yang digunakan oleh Imam Bukhari pada perletakkan Tarjamatul Bab jenis Istinbatiyyah ialah beliau menggunakan hadith yang bersifat khusus untuk diletakkan di bawah Tarajim(bab-bab) yang bersifat umum.Kadangkala, beliau meletakkan hadith yang bersifat umum di bawah Tarajim yang bersifat khusus,contohnya :
"باب لا يقيم الرجل اخاه يوم الجمعة و يقعد في مكانه"
[Bab tentang seseorang tidak boleh meminta saudaranya bangun dari tempat duduknya pada hari Jumaat sedangkan dia pula yang duduk di tempat saudaranya].
•Kemudian Imam Bukhari mendatangkan hadith Ibn Umar ra dalam kitab Al-Jum'ah :
"نهى النبي صلى الله عليه وسلم أن يقيم الرجل أخاهمن مقعده ويجاس فيه"
[Nabi saw melarang seseorang untuk meminta saudaranya bangun dari tempat duduknya dan dia pula yang duduk di tempat itu].
•Larangan di dalam hadith bersifat umum yakni merangkumi pada semua waktu dan tempat, sedangkan Tarjamatul Bab yang diletakkan oleh Al-Bukhari bersifat khusus iaitu hanya menyebutkan larangan pada Hari Jumaat.
3)Tarjamah Al-Mursalah
•Ia merupakan Tarjamatul Bab yang hanya ditulis padanya "باب"(Bab).Syeikh Nuruddin Itr menjelaskan ada dua sebab Imam Bukhari membuat Tarjamatul Bab sebegini.
-Pertama:
-Isi kandungan bab ini masih lagi bersambung dengan bab sebelumnya.Bab ini ditulis hanya untuk menyempurnakan bab yang terdahulu,tetapi kedua-dua bab ini sengaja dipisahkan kerana ia mempunyai faedah tambahan yang lain.Contohnya pada Kitab Al-Janaiz di dalam Sahih Al-Bukhari.Beliau berkata :
"باب ما يكره من النياحة على الميت"
(Bab tentang pekara yang dibenci iaitu meratap ke atas mayat).
seterusnya Al-Bukhari membawa datang hadith:
"من نيح عليه يعذب بما نيح عليه"
[Sesiapa yang meratap ke atas kematian,maka dia(mayat) akan terseksa disebabkan ratapan itu]
dan hadith Ibnu Umar ra :
"الميت يعذب في قبره بما نيح عليه"
[Mayat akam terseksa di dalam kubur disebabkan ratapan terhadapnya].
•Kemudian Al-Bukhari menulis pada bab seterusnya "باب" lalu membawa datang hadith Jabir mengenai kematian ayahnya semasa Perang Uhud :
"فأمَرَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ فَرُفِعَ، فَسَمِعَ صَوْتَ صَائِحَةٍ، فَقالَ: مَن هذِه؟ فَقالوا: ابْنَةُ عَمْرٍو - أَوْ أُخْتُ عَمْرٍو - قالَ: فَلِمَ تَبْكِي؟ أَوْ لا تَبْكِي، فَما زَالَتِ المَلَائِكَةُ تُظِلُّهُ بأَجْنِحَتِهَا حتَّى رُفِعَ.
[Rasulullah saw mengeluarkan arahan lalu baginda saw mendongak ke langit serta mendengar suara ratapan lalu bersabda :"Siapakah ini".Mereka
menjawab :"Anak perempuan Amr atau saudara perempuan Amr".Baginda saw bersabda :"Sama ada dia menangis atau tidak,para malaikat sentiasa melindunginya dengan sayap mereka"].
Hadith sebelumnya menunjukkan perbuatan meratapi mayat adalah dibenci,'ilat(faktor) Nabi saw melarang meratapi mayat pada hadith-hadith dalam bab sebelum ini diperoleh melalui bab ini yang didatangkan secara berasingan semata-mata untuk menjelaskan illat(faktor) perbuatan meratapi mayat itu dibenci oleh Nabi saw.
-Kedua:
-Isi kandungan Tarajim Al-Mursalah mengandungi faedah yang masih berkait dengan titik asal perbincangan kitab, walaupun tidak berkait dengan bab sebelumnya. Sebagai contoh pada Kitab Al-Harth wa Al-Muzara'ah, Imam Bukhari menyebutkan :
"باب قطع الشجر و النخل"
(Bab tentang memotong pokok dan pokok kurma).
Memudian Al-Bukhari menyebutkan hadith Abdullah bin Umar :
"أنه حرق نخل بنى النضير وقطع"
[Bahawa sesungguhnya Nabi saw membakar kurma Bani Nadhir dan memotongnya].
Hadith ini ada kaitan dengan tarjamatul bab.
•Seterusnya,Al-Bukhari menyambung perbincangan dengan menulis "باب" dan menyebutkan hadith daripada Rafi' bin Khadij :
"كُنَّا أَكْثَرَ أَهْلِ المَدِينَةِ مُزْدَرَعًا، كُنَّا نُكْرِي الأرْضَ بالنَّاحِيَةِ منها مُسَمًّى لِسَيِّدِ الأرْضِ، قالَ: فَمِمَّا يُصَابُ ذلكَ وتَسْلَمُ الأرْضُ، ومِمَّا يُصَابُ الأرْضُ ويَسْلَمُ ذلكَ، فَنُهِينَا، وأَمَّا الذَّهَبُ والوَرِقُ فَلَمْ يَكُنْ يَومَئذٍ"
[Kami adalah penduduk Madinah yang memiliki banyak tanaman.Kami membayar sewa kepada tuan tanah dan sebahagian hasil tertentu untuk pemilik tanah.Kadang kala hasil yang ditentukan untuk sewaan itu rosak dan sebahagian yang lain selamat.Maka kami dilarang melakukan begitu. Adapun membayar sewa tanah dengan perak dan emas belum berlaku pada masa itu(dizaman Rasulullah saw hidup)].
•Hadith ini menyentuh tentang pertanian dan tiada kaitan secara khusus dengan bab sebelumnya,
cuma masih ada kaitan dengan topik asal perbincangan iaitu mengenai pertanian.
~Tamat~
Ulasan
Catat Ulasan