Pengenalan Hadith (Bahagian 2)

 Hadith Maudhu' & Sejarahnya.



 Aku mulakan penulisan dengan satu Hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari, Telah bersabda Rasulullah SAW,
 
مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

"Barangsiapa yang sengaja berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka."
(Hr Bukhari)

Ada pendapat yang mengatakan bahawa siapa yang menyebarkan hadith maudhu' sedang ia tidak pasti status hadith tersebut (Tidak menyemak) maka ia termasuk dalam golongan yang di ancam dalam hadith di atas.

Takhrif Hadith maudhu'
• menurut ulama hadith, Hadith maudhu merupakan hadith palsu, hadith yang direka atau hadith yang dibuat dengan dusta dan disandarkan kepada Rasulullah SAW. 
• Dari sudut istilah Maudhu merupakan sesuatu yang direka-reka, diada-adakan dan sesuatu yang baru yang tidak ada sebelumnya.
• Hadith maudhu' merupakan hadith dhaif yang paling buruk.

Jenis Hadith Maudhu.
Hadith maudhu terbahagi kepada dua(2),
(a) Mereka-reka atau memalsukan ucapan      kemudian disandarkan atau didakwa ia      merupakan ucapan atau sabda                    Rasulullah SAW.

Contoh hadith palsu,

"Sesiapa yang berkata-kata tentang perkara dunia di masjid, Allah hapuskan pahala amalannya selama 40 tahun."

Penjelasan:
- Hadith ini tidak ditemukan dalam kutub As-Sittah atau kitab hadith masyhur yang lain.
 - Al- Shogoni memasukkan hadith ini dalam kitab "Al-maudhu'aat" yang mengumpulkan hadith- hadith maudhu',.
 - Mulla Ali al- Qari juga memasukkan hadith ini di dalam kitabnya yang mengumpulkan hadith- hadith maudhu'.

(b) Ucapan Sahabat, ulama, sufi atau              kisah-kisah israeliyyat tapi didakwa              sebagai ucapan Rasulullah SAW.

Contoh hadith palsu,
Bab Khusyuk dalam solat.

"Seandainya hati orang ini khusyuk nescaya akan khusyuk juga anggota badannya"

Penjelasan.
Terdapat seorang rawi yang bernama Sulaiman bin Amr yang telah disepakati atas kelemahannya.
-  Berkata Ibn Adi'  "Ulama sepakat mengatakan bahawa dia pemalsu hadith"
- Ini sebenarnya adalah ucapan Sa'id  bin Musayyib.


Faktor yang mendorong kepada pemalsuan Hadith.

• Ulama-ulama hadith yang mengkaji tentang punca dan sebab pemalsuan hadith telah menyenaraikan beberapa sebab yang mendorong kepada pemalsuan hadith, antaranya,

(1) Bertujuan untuk memburuk-burukkan Islam serta menyesatkan dan memesongkan pemikiran serta akidah umat Islam.
(2) Bertujuan untuk menggalakkan umat Islam meningkatkan amalan. Ini biasanya dilakukan golongan yang kurang faham tentang Islam itu sendiri. Golongan ini akan mereka-reka hadith palsu supaya umat lebih bersemangat untuk beramal.
(3) Ketaksuban kepada individu atau kumpulan- Kumpulan tertentu, Akhirnya golongan ini memalsukan hadith demi kepentingan peribadi.


Hukum meriwayatkan hadith palsu.
• Ulama sepakat menyatakan bahawa tidak harus(Haram) meriwayatkan hadith maudhu' walau apapun alasannya kecuali untuk memberitahu tentang kepalsuan hadith tersebut.

• Imam Nawawi Rh. berpendapat bahawa,
Bagi mereka yang tahu atau menyangka sesuatu hadith itu adalah maudhu', maka haram baginya meriwayatkan hadith tersebut. Sesiapa yang meriwayatkannya sedang ia tahu atau menyangka hadith tersebut maudhu' tanpa menyatakan tentang kepalsuan hadith tersebut, maka ia termasuk dalam golongan yang di ancam (Kerana melakukan perkara haram, berbuat dosa besar dan terkeji).

• Berkata Imam al-Sayuti "Ulama hadith sepakat memutuskan tidak harus meriwayatkan hadith maudhu' pada apa jua tajuk dan bidang, kecuali dengan menyatakan kedudukannya sebagai maudhu'. Lain halnya dengan dhaif yang harus diriwayatkan dalam bidang- bidang yang tidak berkaitan 'aqa‘id dan ahkamu'.

• Dalam satu hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ

"Sesiapa yang menyampaikan daripadaku sesuatu hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta"

(Hr Muslim).


Ciri- ciri hadith maudhu'.

Ada beberapa cara untuk mengenali hadith maudhu' antaranya,

(1) Pengakuan dari pendusta hadith tersebut.

(2) Amalan mudah tapi ganjaran besar.

- Contohnya zikir mudah yang akan memenatkan 70,000 malaikat untuk mencatat pahala.

(3) Bertentangan dengan fakta dan sejarah.

(4) Bertentangan dengan logik akal.

(5) Tidak ditemukan dalam mana-mana kitab hadith, tiada kajian oleh sarjana hadith.

(6) Hanya terdapat dalam bahasa melayu dan tidak terdapat dalam mana-mana kitab arab.

(7) Bertentangan dengan Al-Quran atau hadith-Hadith mutawatir.


Setakat kajian dan pencarian saya sehingga artikel ini ditulis, Saya belum menemukan tentang sejarah bermulanya pemalsuan hadith. InsyaAllah akan saya masukkan dalam artikel seterusnya jika menemui sejarahnya kelak.


Wallahu A'lam ..



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Waktu anak diperintahkan beribadah.

MANHAJ AL-TARJIH & AL-TAKHRIJ BAHAGIAN SATU

FATWA AJARAN BATINIYYAH (EN. WAN HIZAM BIN ABDULLAH, EN. ISMAIL ARIFFIN@LEPAT)