Aurat Wanita berusia yang telah putus Haid..
AURAT WANITA TELAH PUTUS HAID.
Wanita Berusia Yang Telah Putus Haid Boleh Buka Tudung??
1. Firman Allah SWT:
وَٱلۡقَوَٲعِدُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ ٱلَّـٰتِى لَا يَرۡجُونَ نِكَاحً۬ا فَلَيۡسَ عَلَيۡهِنَّ جُنَاحٌ أَن يَضَعۡنَ ثِيَابَهُنَّ غَيۡرَ مُتَبَرِّجَـٰتِۭ بِزِينَةٍ۬ۖ وَأَن يَسۡتَعۡفِفۡنَ خَيۡرٌ۬ لَّهُنَّۗ
“Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka” [al-Nur: 60].
2. Ramai yang salah faham dengan maksud “ثياب” yang disebut di dalam ayat dengan menyangka ia bermaksud tudung atau pakaian yang mendedahkan aurat.
3. Para sahabat dan tabiin BERSEPAKAT bahawa “ثياب” yang dimaksudkan di dalam ayat ialah pakaian luar (pakaian atas pakaian) atau apa yang dikenali sebagai jilbab.
Ia merupakan tafsiran dari Ibn ‘Abbas RA, Ibn Mas’ud RA, Ibn ‘Umar RA, al-Sya’bi, Sa’id bin Jubayr, al-Hasan, Mujahid, ‘Ata’ bin Abi Rabah, ‘Ikrimah, Qatadah dan tokoh tafsir ulung lain [Rujuk: Tafsir ‘Abdul Razzaq, Tafsir al-Tabari, dan Tafsir Ibn Abi Hatim].
4. Apa itu jilbab?
Jilbab merupakan pakaian luar bagi wanita seakan selendang besar yang kebiasaannya diletakkan di atas tudung bagi menutupi wajah atau membaluti badan dari ternampak bentuk tubuh seperti yang dipakai di beberapa negara arab atau Iran.
‘Aisyah RA menyebut: “Seorang wanita itu menyandang jilbabnya dari atas kepalanya (bagi) menutupi wajahnya” [Rujuk: Sunan Sa’id bin Mansur].
5. Sebahagian ulama lain menukilkan ijmak akan kewajipan seorang wanita berusia menutupi rambutnya walau berapa sekalipun usianya.
Menyingkapinya secara sengaja sedangkan mampu menutupinya ketika solat boleh membatalkan solatnya [Rujuk: Ahkam al-Quran oleh al-Jassas, dan al-Muhalla oleh Ibn Hazm].
Justeru rambut wanita tua juga adalah aurat sama seperti wanita muda tanpa khilaf. Cuma yang telah tua diberi kelonggaran untuk tidak memakai jilbab.
6. Namun ayat di atas menyebut: “Perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka”, iaitu sifat extra cautious itu merupakan ciri takwa yang lebih baik.
Suatu hari ‘Asim al-Ahwal masuk bertemu Hafsah binti Sirin yang telah tua, lalu Hafsah segera menutupi dirinya dengan jilbab.
Maka ‘Asim pun berkata: “Semoga Allah merahmatimu. Bukankah Allah telah berfirman…(membacakan ayat surah al-Nur tersebut)”?
Lalu Hafsah bertanya kepadanya: “Kemudian apa yang disebut di akhir ayat?”.
Jawab ‘Asim: “Perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka”.
Ujar Hafsah: “Ya, aku memilih untuk berjilbab (kerana itu lebih baik)” [Sunan Said bin Mansur].
Ulasan
Catat Ulasan