ISU YAQAZAH
SEDIKIT PANDANGAN TENTANG YAQAZAH
(1) Dalam Kutub Sittah, Musnad Ahmad dan Sunan Ad-Daarimi, hadis-hadis berkenaan isu ini ada lebih kurang 42 buah (sumber : app جامع الكتب التسعة).
(2) Paksi hujah pendakwa Yaqazah pula adalah hadis sahih riwayat Bukhari nombor 6993 ini :
“Siapa yang melihat aku dalam tidur maka dia akan melihat aku secara jaga…”
من رآني في المنام فسيراني في اليقظة….
Juga hadis nombor 3904 dalam Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad hadis 3798 dengan maksud yang lebih kurang sama.
(3) Namun dalam hadis-hadis riwayat Muslim no 2266 dan Sunan Abu Dawud hadis 5023, jelas-jelas perawinya yaitu Abu Hurairah r.a menyatakan keraguannya, bahawa dia tidak pasti sama ada Nabi kata “…akan melihat aku secara jaga” atau “seolah-olah melihat aku secara jaga”.
من رآني في المنام فسيراني في اليقظة أو لكأنما رآني في اليقظة
Ingat, ada pengakuan keraguan daripada perawi sendiri. Jika ada ragu maka kita sepatutnya ambil kemungkinan yang lebih kuat.
(4) Sunan Ibn Majah hadis 3904 (riwayat Abu Juhaifah) pula tidak menyertakan kemungkinan pertama tetapi hanya yang kedua (Seakan melihat aku secara jaga).
(5) Kalau dikumpulkan kesemua hadis-hadis dan riwayat-riwayat lain dalam bab yang sama yaitu berjumlah 39 buah (selepas dikeluarkan 3 hadis di point 2), kita akan dapati dengan jelas bahawa ia menyokong kenyataan dan kemungkinan kedua Abu Hurairah, yaitu “seolah-olah melihat aku secara jaga”, bukan “akan melihat aku secara jaga”.
Hadis-hadis yang lain itu boleh dirumuskan sebagai mengandungi kenyataan-kenyataan ini :
- “Siapa melihat aku dalam mimpi maka dia telah benar-benar melihat aku.”
- “Siapa yang melihat aku dalam mimpi maka dia seakan-akan melihat aku secara jaga”.
- “…Kerana syaitan tidak boleh menyerupai aku…”
- “Siapa lihat aku dalam tidur maka dia melihat aku secara jaga.” Dengan maksud seakan-akan lihat aku secara jaga. Bukan “akan melihat aku secara jaga”.
Ia selari dengan kemungkinan kedua keraguan Abu Hurayrah.
(6) Penyokong-penyokong Yaqazah tidak ada sandaran daripada Al-Quran, dan daripada Hadis pula hanya 3 riwayat yang disenaraikan di point dua yang di”sanggah” oleh 39 riwayat lain.
(7) Dakwaan-dakwaan Yaqazah para ulama sepatutnya dikategorikan sebagai mimpi yang terang, vivid dream. Lafaz Yaqazah yang dimaksudkan mereka kita ambil sebagai bukan secara Haqiqi tetapi secara Mithli (seakan-akan). Yaitu bukan bertemu secara jaga/secara hakiki dalam erti kata yang difahami umum.
Fenomena ‘vivid dream’ ketika ‘microsleep’ ‘antara tidur dengan sedar’ harus diambil kira.
(8) Kepastian melihat Nabi s.a.w dalam mimpi hanya boleh ditentukan oleh para Sahabat Nabi s.a.w secara yakin kerana mereka pernah melihat Nabi s.a.w dalam hidup mereka.
Jika difahami hakikat ini akan jelaslah konteks hadis-hadis diatas, bahawa Nabi s.a.w memberitahu para sahabat bahawa jika kamu nampak aku dalam mimpi maka itu benar-benar aku, kerana mereka pernah lihat Nabi s.a.w. Maka mereka boleh pastIkan.
(9) Dakwaan selain para sahabat Nabi yang tidak dipastikan oleh sahabat Nabi tidak boleh capai taraf yaqin, hanya sebatas sangkaan.
(10) Jika seseorang merasakan sosok yang dilihat adalah Rasulullah s.a.w yang tidak mengandungi apa-apa yang tidak selari dengan aqidah, fiqh ataupun akhlaq maka anggap itu sebagai berita gembira untuk diri sendiri yang tidak sepatutnya disebarkan kepada orang lain.
(11) Namun jika anda seorang penguasa (seperti kisah Nuruddin Zanki dan pencuri-pencuri jasad Baginda s.a.w) merasakan ada amaran dari Nabi s.a.w melalui mimpi yang berulang maka mesti buat kajian dan perisikan serta cari bukti akan kebenaran mimpi itu terlebih dahulu seperti yang dibuat oleh Nuruddin, jika ada tanda-tanda bahawa ia benar maka teruskan ikuti amaran itu. Bukan terus percaya dan sebar.
(12) Selain penguasa tidak sepatutnya menyebar-nyebar dakwaan mimpi mereka secara tidak bertanggungjawab dan sebelum melakukan proses pemastian, kerana ini akan membuka pintu kekacauan aqidah yang besar dalam masyarakat seperti yang telah dicetuskan oleh golongan Sufi Falsafi/Wujudi.
(13) Apatah lagi dakwaan-dakwaan dalam mimpi itu yang jelas-jelas menyanggahi aqidah, fiqh dan akhlaq ataupun ramalan-ramalan besar tentang masa hadapan. Ia tidak boleh disebarkan kerana membawa mudarat yang besar kepada masyarakat.
Sumber FB : Ustaz Noor Deros
Ulasan
Catat Ulasan