Hadis Ikut Keyakinan Masing-masing?
Hadis Ikut Keyakinan Masing-masing?
=========
1. Ada yang menyatakan bahawa kebolehpercayaan terhadap hadis adalah mengikut keyakinan masing-masing. Kenyataan sebegini adalah tidak benar. Ini kerana penyampaian hadis telah melalui sistem sanad yang ketat sehingga diyakini kebenaran maklumat yang direkodkan.
2. Manakala perbezaaan pengamalan dan penghujahan hadis tidak menafikan kebolehpercayaan (reliability) hadis. Ini kerana, pembangunan sistem sanad yang kompleks dengan jaringan jalur sanad yang solid telah berjaya mengesahkan keabsahan (authenticity/validity) hadis.
3. Bukan sekadar sarjana Muslim sepakat terhadap perkara ini, penyelidik barat turut mengakui hadis yang direkodkan melalui sistem sanad dengan perawi yang siqah sukar untuk dicabar kebenarannya.
4. Harald Motzki, Andreas Gorke dan Gregor Schoeler adalah antara beberapa nama professor barat yang mengakui kekukuhan sistem sanad dan keabsahan maklumat hadis. Saringan perawi yang ketat melalui prinsip al-Jarh wa al-Ta’dil (biographical evaluation - 'Ilm al-Rijal) memperkukuh sistem perekodan maklumat bagi memastikan keaslian intipati hadis yang disampaikan.
5. Penulisan hadis bukan sekadar merekodkan cerita yang disampai oleh guru yang siqah, tetapi melalui tapisan yang cermat sebelum dimuatkan di dalam karya yang sahih. Tahukah kita bahawa al-Imam al-Bukhari sendiri menyaring ratusan ribu hadis sebelum memuatkan beberapa ribu hadis sahaja dalam karya Sahih beliau.
6. Andai sistem sanad dan kandungan hadis ini diragui oleh Muslim sendiri, ia bukan sekadar meruntuhkan kepercayaan terhadap institusi hadis malah menggugat kedudukan al-Quran. Ini kerana, penyampaian bacaan al-Quran kepada kita disalurkan menggunakan sistem rantaian sanad yang sama melalui jalan mutawatir.
7. Andai kita menggunakan logik bahawa kita tidak tahu kandungan hadis itu benar atau tidak hanya kerana kita tidak pernah berada di zaman Nabi, maka apakah logik yang sama boleh kita pakai kepada al-Quran? Siapa dalam kalangan kita yang pernah mendengar Quran dari Nabi sendiri? Sedangkan setiap individu muslim beriman bahawa al-Quran yang ada sekarang adalah sama seperti wahyu yang diturunkan kepada Nabi.
8. Oleh yang demikian, Muslim seharusnya meyakini bahawa al-Quran dan hadis telah sampai kepada kita melalui jalan yang sempurna, dengan tapisan yang ketat meggunakan sistem sanad yang kuat.
9. Dalam masa yang sama, para asatizah perlu lebih berhati-hati dalam mengawal topik perbahasan. Ketelanjuran dalam menyuarakan pandangan memberikan impak yang membimbangkan sehingga berupaya menjejaskan kredibiliti hadis dan al-Quran itu sendiri.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Ulasan
Catat Ulasan