Malam Nifsu Syaba'an

Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban
.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:
.
لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللَّهُ لِعِبَادِهِ، إلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Pada malam Nisfu Sya'ban, Allah mengampuni hamba-hambaNya kecuali golongan yang mensyirikkan Allah dan bermusuhan.  [Musnad al-Bazzar].
.
Hadis ini ada kecacatan yang ringan. Akan tetapi hadis dengan maksud yang sama diriwayatkan daripada ramai sahabat Nabi  dengan setiap sanad ada kecacatan, akan tetapi ia saling menguatkan antara satu sama lain.
.
Ini merupakan satu-satunya hadis yang kuat dalam kelebihan Nisfu Sya'ban.
Tiada amalan khas untuk malam Nisfu Sya'ban. Oleh itu, banyakkanlah amal soleh, dan paling penting, jauhi syirik kepada Allah, dan permusuhan.
.
Adapun riwayat daripada Ali r.a ini bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
.
إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، فَقُومُوا لَيْلَهَا، وَصُومُوا نَهَارَهَا ، فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا، فَيَقُولُ: أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ، أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ، أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ، أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا، حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ
Apabila datangnya malam Nisfu Sya'ban, hidupkanlah malam itu, dan berpuasalah di siang harinya. Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut bermula daripada terbenamnya matahari. Lalu Allah berkata: Sesiapa yang memohon keampunan Ku, Aku akan ampunkan, sesiapa yang memohon rezeki, Aku akan berikan, sesiapa yang diuji dengan kesusahan, Aku akan membantunya, begitu dan begini, sehinggalah terbitnya fajar. [Sunan Ibnu Majah, no: 1388]. Ia adalah hadis yang palsu. Pada sanadnya terdapat Ibnu Abi Sabrah. Imam Ahmad menyatakan dia adalah pemalsu hadis. [Ibnu Abi Hatim, Al-Jarh wa Al-Ta'dil, 7:306].
.
Ulama mazhab Syafie menggalakkan kita menghidupkan malam ini dengan membanyakkan ibadah, tanpa dispesifikkan apa-apa ibadah tertentu. Kata Imam an-Nawawi dalam Al-Majmu':
.
الصلاة المعروفة بصلاة الرغائب وهي ثنتى عشرة ركعة تصلي بين المغرب والعشاء ليلة أول جمعة في رجب وصلاة ليلة نصف شعبان مائة ركعة
Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sunat sebanyak 12 rakaat yang didirikan antara Maghrib dan Isya pada malam Jumaat pertama dalam bulan Rejab, dan solat malam Nisfu Sya'ban sebanyak 100 rakaat;
.
وهاتان الصلاتان بدعتان ومنكران قبيحتان
kedua-dua ini adalah solat yang bid'ah lagi munkar lagi keji.
.
ولا يغتر بذكرهما في كتاب قوت القلوب واحياء علوم الدين ولا بالحديث المذكور فيهما فان كل ذلك باطل
Janganlah tertipu dengan nukilan tentang solat ini di dalam kitab Qutul Qulub (oleh Imam Abu Talib al-Makki) dan Ihya Ulumuddin (oleh Imam al-Ghazali), dan tidak juga dengan hadis yang disebutkan tentang kedua solat ini. Sesungguhnya semua itu adalah bathil..
.
Buatlah apa sahaja kebaikan dan amalan ketaatan, jauhi kesyirikan, semoga kita memperolehi keampunan Allah.


Doa dan Bacaan Yasin Tiga Kali Malam Nisfu Syaaban: Catatan Syeikh ‘Abd Allah al-Ghumari (1413 H) |

“Ketahuilah bahawa doa yang dibaca oleh orang ramai selepas solat maghrib pada malam ini (malam nisfu Syaaban) tidak ada asasnya dengan bentuk yang diketahui umum itu. 

Bacaan surah Yasin tiga kali - setiap kali dengan satu niat – , solat yang dikerjakan mereka antara doa dan doa (lain) dengan niat khusus untuk hajat tertentu semuanya itu batil tidak ada asasnya dan tidak sah solat kecuali dengan niat semata-mata kerana Allah taala dan bukannya kerana tujuan tertentu...”

[Husn al-Bayan fi Laylah al-Nisf min Sha’ban (1405 H); Beirut: ‘Alam al-Kutub; h. 18]

Nota:

Syeikh 'Allah b. Muhammad b. al-Siddiq al-Ghumari, ulama hadis berketurunan Rasulullah SAW ini ialah pengarang Itqan al-San'ah fi Ma'na al-Bid'ah yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul "Makna Sebenar Bid'ah: Satu Penjelasan Rapi". Kitab ini menjadi rujukan penting golongan pondok di Malaysia dalam masalah bid'ah.

Catatan ini menunjukkan perbuatan menolak amalan membaca Yasin sebanyak tiga kali diselangi doa tertentu adalah perbuatan muktabar di sisi ulama besar sufi sendiri dan bukannya pendapat terpencil yang dipegang oleh sesetengah pihak umat Islam sahaja.
.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Waktu anak diperintahkan beribadah.

MANHAJ AL-TARJIH & AL-TAKHRIJ BAHAGIAN SATU

FATWA AJARAN BATINIYYAH (EN. WAN HIZAM BIN ABDULLAH, EN. ISMAIL ARIFFIN@LEPAT)