Hanya Islam Agama Yang Benar
1. Sesetengah orang Islam sendiri begitu alergik, takut dan marah untuk mengatakan Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah. Agama selain Islam adalah tertolak dan tak dapat membawa penganutnya ke syurga. Tiada agama yang sama tinggi atau lebih tinggi daripada Islam.
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam….”
(Surah Ali ‘Imran, ayat 19)
2. Kerisauan mereka untuk membuat pengakuan itu semua tak lain tak bukan kerana telah terpengaruh dengan fahaman liberal yang cuba untuk menyama-ratakan semua agama, membawa konsep bahawa semua agama adalah baik, semua agama boleh membawa penganutnya ke syurga. Fahaman sebegini amat berbahaya. Terlebih toleransi sampai mencairkan prinsip utama seseorang Islam itu sendiri, iaitu Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah, dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Mereka begitu mengalu untuk berbangga dengan Islam, sedangkan Allah berfirman:
”Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘ Sungguh aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)? ‘ “
(Surah al-Fussilat, ayat 33)
3. Sensitiviti apabila tidak diletakkan pada tempatnya, makan akan lahirlah umat Islam yang sensitif dengan apa kata orang bukan Islam terhadap dirinya yang mahu mengamalkan Islam secara total, tetapi tidak sensitif apabila umat Islam melakukan dosa dan maksiat. Mereka bercita-cita untuk melihat Islam menjadi agama yang tidak menghalang mereka daripada enjoy sepuas-puasnya hidup di dunia, sampai lupa betapa dunia ini hanya mainan dan senda gurau semata-mata.
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”
(Surah al-An’am, ayat 32)
4. Mereka begitu ingin hidup bebas seperti penganut agama lain. Bebas untuk berzina dengan siapa yang mereka suka, dan kemudiannya solat hanya apabila mereka rasa perlunya divine intervention dalam kehidupan mereka. Bebas untuk sambut semua jenis perayaan agama lain, dan kemudiannya mengharapkan undi umat Islam untuk memajoritikan mereka menjadi pemerintah. Bebas untuk berhibur tanpa mengikut batas syarak, dan kemudiannya berharap cukup dengan sekeping IC yang tertulis ‘Islam’ untuk menempah tiket di syurga apabila mati kelak.
Islam itu perlu diambil secara menyeluruh, bukan sekerat-sekerat. Ingat firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan memang musuh kamu yang nyata.”
(Surah al-Baqarah, ayat 208)
5. Dan ingatlah, hanya Islam sahaja yang boleh menyelamatkan kita di akhirat. Jika kita sendiri tidak benar-benar yakin dengan janji Allah, bagaimana kita hendak bersungguh-sungguh mengajak umat manusia untuk menyelamatkan diri mereka dengan Islam?
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.”
(Surah Ali ‘Imran, ayat 85)
6. Jika dakwah kita ditolak oleh orang bukan Islam, bahkan mereka mengajak pula untuk kita meninggalkan Islam, maka jadikanlah firman Allah ini sebagai pendinding:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.
(Surah Al-Kafirun, ayat 1-6)
Semoga Allah memantapkan dan menetapkan keimanan kita, dan menyelamatkan kita di akhirat kelak insya-Allah.
Ulasan
Catat Ulasan