Niat Solat

Sejak beberapa kurun para ulama berbahas tentang hukum melafazkan niat solat dan golongan yang membidaahkannya berulang kali berhujah bahawa amalan tersebut tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi, sahabat, salaf, mahupun ulama empat mazhab. Imam Ibnu al-Qayyim, salah seorang yang lantang membidaahkan, dengan berani mengatakan:

فَإِنْ أَوْجَدَنَا أَحَدٌ حَرْفًا وَاحِدًا عَنْهُمْ فِي ذَلِكَ قَبِلْنَاهُ وَقَابَلْنَاهُ بِالتَّسْلِيمِ وَالْقَبُولِ.
“Sekiranya ada yang boleh menunjukkan kepada kami satu ayat daripada mereka tentang perkara itu (melafazkan niat), kami pasti akan menerima dan menyambutnya dengan setulus hati.”

Beberapa tahun belakangan ini, satu penemuan memeranjatkan khalayak yang mengikuti polemik ini, iaitu riwayat Ibnu al-Muqri’ (381 H) dalam Mu’jamnya daripada Ibnu Khuzaymah daripada al-Rabī’, katanya:

كَانَ الشَّافِعِيُّ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْخُلَ فِي الصَّلَاةَ قَالَ: بِسْمِ اللَّهِ، مُوَجِّهًا لَبَيْتِ اللَّهِ مُؤْدِيًا لِفَرْضِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ اللَّهُ أَكْبَرُ.
“Imam al-Shāfi‘ī apabila hendak bersolat, beliau mengatakan, ‘bismillah, dengan mengadap ke Baitullah dan melaksanakan kewajipan Allah azzawajalla. Allahuakbar’.”

Yang lebih memeranjatkan, sanadnya sahih, atau “seperti matahari”, seperti kata Syeikh ‘Abd al-‘Azīz al-Ṭarīfī meskipun beliau turut membidaahkannya. Sebenarnya, riwayat yang sama sudah dinukilkan oleh al-Subkī (771 H) dalam al-Ṭabaqāt al-Shāfi‘iyyah al-Kubrā, namun secara ta’līq pada Ibnu Khuzaymah. Namun anehnya, nukilan sepenting dan sekuat ini tidak pernah disentuh oleh aṣḥāb termasuk ulama sebesar Imam al-Rāfi‘ī dan al-Nawawī, mahupun Ibnu Ḥajar al-Haytamī dan al-Ramlī, serta aṣḥāb al-ḥawāshī dalam mana-mana kitab fiqh mazhab – yang sampai kepada kita pada hari ini – ketika membicarakan hukum-hakam berkaitan niat solat meskipun sekadar isyarat.

Jadi, berdasarkan riwayat tadi, sabitlah bahawa salah seorang imam mazhab menyunatkan lafaz niat solat dan ini memberi tamparan yang hebat kepada pihak yang membidaahkan terutamanya golongan Salafī dan Kaum Muda. Tetapi, isu ini tidak berkesudahan di situ. Tokoh Salafī Somalia kontemporari, Dr. Maḥmūd Muḥammad al-Shiblī mengeluarkan kajian melemahkan riwayat tadi. Katanya, ia ḍa‘īf dengan tiga ‘illah: Pertama, inqiṭā’ antara Ibnu al-Muqri’ dengan Ibnu Khuzaymah. Kedua, tafarrud riwayat ghurabā’ daripada mashāhir. Ketiga, riwayat ini tidak disebutkan oleh aṣḥāb dalam kitab-kitab fiqh.

‘Illah yang pertama agak kuat, kerana tidak sabit bahawa Ibnu al-Muqri’ pernah bertemu Ibnu Khuzaymah. Riwayatnya yang lain daripada Ibnu Khuzaymah pun secara mukātabah, walaupun dengan lafaz ḥaddatha-nā, dan riwayat itu pula jelas-jelas lemah. Namun begitu, ada nukilan lain yang menyokong riwayat ini, iaitu oleh Ibnu al-‘Arabī (543 H) dalam al-Qabas:

وقد قال الشافعي: يستحب له أن يتكلم بلسانه بنيته فيقول أؤدي ظهر الوقت ثم يكبر.
“Dan al-Shāfi‘ī telah mengatakan: Sunat baginya melafazkan niat dengan lidahnya dengan mengatakan ‘aku akan melaksanakan solat zohor yang sekarang’ kemudian bertakbir.”

Adapun ‘illah yang kedua dan lebih-lebih lagi yang ketiga itu tidaklah kukuh. Hal ini demikian kerana terbukti bahawa banyak riwayat daripada Imam al-Shāfi‘ī yang tidak sampai kepada aṣḥāb, yang kadang-kadang menyebabkan mereka tanpa sedar menyelisihi nas Imam al-Shāfi‘ī. (Antaranya tentang keutamaan solat tarawih bersendirian berbanding secara berjemaah yang merupakan pendapat dan amalan Imam al-Shāfi‘ī yang sudah saya sentuh lama dahulu.) Kata al-Bandanījī (495 H) sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Isnawī dalam al-Muhimmāt:

وكثيرًا ما يخالف الأصحاب النص لا عن قصد ولكن لعدم اطلاعهم عليه.
“Kerap kali aṣḥāb menyelisihi nas (Imam al-Shāfi‘ī), bukan secara sengaja, tetapi kerana tidak menemuinya.”

Berbeza dengan yang masalah-masalah lain, kali ini nas yang tidak ditemui itu berbetulan dengan pendapat yang menjadi pegangan jumhur mereka. Dikatakan jumhur, kerana tidak semua aṣḥāb berpendapat sunat melafazkan niat solat. Ada yang dinukilkan, iaitu al-Zubayrī (317 H), mewajibkan, tetapi sebenarnya ini cuma salah faham beliau terhadap kalam Imam al-Shāfi‘ī yang sudah diperbetul oleh aṣḥāb. Ada juga yang mengatakan tidak sunat, iaitu al-Adhra‘ī (783 H) dengan katanya: ولا دليل للندب. Al-Damīrī (808 H) juga mungkin bersependapat dengan al-Adhra‘ī kerana katanya, وتقدم أن الزبيري أوجب التلفظ بالنية في كل عبادة وهو بعيد، بل لم يقم دليل على الندبية. Walau bagaimanapun, dua pendapat ini tertolak di sisi mazhab lebih-lebih lagi dengan adanya nas daripada Imam al-Shāfi‘ī tadi.

Ini dari sudut mazhab dan sebagai pendapat yang dinukilkan daripada Imam al-Shāfi‘ī, ia wajar dihormati selayaknya pendapat imam mujtahid mutlak dan imam salah satu mazhab yang empat. Adapun dari sudut dalil dan sunnah, kesimpulan dalam masalah ini kekal iaitu tiada sebarang hadis bahawa Rasulullah SAW pernah melafazkan niat solat. Ini maḥall al-ittifāq antara kesemua pendapat, meskipun ada yang mendakwa, mungkin ada hadis tetapi tidak sampai kepada kita.

Wallahualam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Waktu anak diperintahkan beribadah.

MANHAJ AL-TARJIH & AL-TAKHRIJ BAHAGIAN SATU

FATWA AJARAN BATINIYYAH (EN. WAN HIZAM BIN ABDULLAH, EN. ISMAIL ARIFFIN@LEPAT)